Pemilik dobi 'orang Islam sahaja' mohon maaf


Pemilik Elit Laundry akur dengan perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar papan tanda larangan terhadap pelanggan bukan Islam yang menimbulkan kontroversi itu dialih. – Gambar Facebook, 27 September, 2017.

TUAN punya kedai dobi layan diri di Muar, Johor yang hanya membuka perniagaannya kepada orang Islam hari ini memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia atas ketelanjurannya itu.

Pemilik Elit Laundry yang enggan dinamakan itu memberitahu portal berita Free Malaysia Today beliau akur dengan perintah Sultan Ibrahim agar papan tanda larangan terhadap pelanggan bukan Islam yang menimbulkan kontroversi itu dialih.

“Saya sudah patuh pada titah Tuanku. Saya memohon maaf pada Tuanku, rakyat Johor atas apa yang berlaku dan berharap kekecohan selama beberapa hari ini akan reda.

“Saya sudah tidak menggunakan papan tanda berkenaan.

“Saya memang tiada niat untuk menjadikan isu ini suatu perkara yang besar,” katanya seperti dipetik oleh FMT.

Portal itu juga melaporkan pemilik kedai dobi itu akan meneruskan perniagaannya.

Kedai dobi di Muar itu jadi perhatian selepas tular di media sosial foto ruang depan premisnya yang tertera papan tanda “Untuk Pelanggan Beragama Islam Sahaja dan Kasut Sila Tanggalkan Di Luar”.

Tindakan kedai dobi itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada pengguna media sosial. Ada yang memujinya sebagai langkah baik menjaga kesucian pakaian yang dicuci, ada juga yang mempersoalkan kewajaran pengecualian mengikut agama itu dan ada juga yang tertanya-tanya betul atau tidak ini berlaku di Malaysia dan wujud atau tidak sebenarnya kedai itu.

Sultan Johor dalam wawancara dengan The Star menyifatkan apa yang dibuat oleh pemilik kedai dobi itu “mengarut” dan memalukan negeri serta rakyat Johor. Baginda seterusnya memberi kata dua: hentikan kerja diskriminasi itu atau siap sedia kedai ditutup.

“Ini Johor, milik Bangsa Johor dan milik semua bangsa dan agama. Ini negeri progresif, moden dan sederhana,” titah baginda.

“Ini bukan negeri Taliban. Sebagai ketua agama Islam di Johor, saya lihat kelakuan ini sangat tidak boleh diterima kerana ia melampau.”

Sultan Ibrahim turut menitahkan perkara ini disiasat oleh majlis agama Islam negeri. Baginda juga bertitah hal itu dengan Mufti Johor Mohd Tahrir Samsudin serta exco hal ehwal agama Islam, Abd Mutalip Abd Rahim.

FMT juga melaporkan pemilik kedai dobi itu berkata sepanjang dia menaikkan papan tanda yang kontroversi itu, beberapa agensi kerajaan hadir ke premisnya memeriksa apa yang dilakukannya itu. Laporan itu tidak menyebut agensi kerajaan berkenaan.

Dia juga berjanji kelemahannya ini akan diperbaiki pada masa akan datang agar tidak lagi menyinggung perasaan Sultan Johor dan rakyat negeri berkenaan.

Sementara itu, Mufti Johor Mohd Tahrir Samsudin enggan mengulas lanjut kenyataannya sebelum ini, lapor FMT.

“Saya minta maaf, saya tidak dapat komen isu ini, ia atas arahan dan titah Tuanku Sultan Johor,” katanya.

Tahrir sebelum ini dipetik oleh Harian Metro berkata apa yang dilakukan oleh pemilik kedai dobi itu “tidak sepatutnya menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan bukan Muslim memandangkan perkara berkaitan kebersihan menjadi keutamaan kepada umat Islam.”  – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen