Zamihan akan disiasat kerana menghasut, kata KPN


Muzliza Mustafa

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Zamihan Mat Zin belum ditahan tetapi pihaknya akan memanggil beliau tidak lama lagi untuk merekodkan kenyataannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Oktober, 2017.

PENDAKWAH kontroversi Zamihan Mat Zin akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik Sultan Johor mengenai isu “dobi untuk orang Islam”, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata pendakwah itu belum ditahan tetapi polis akan memanggilnya tidak lama lagi untuk merekodkan kenyataannya.

Terdahulu hari ini, Zamihan, bekas pegawai di Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan penolong pengarah kanan Bahagian Agama, Jabatan Penjara Malaysia, menafikan mengkritik Sultan Johor, dengan mengatakan beliau hanya memberi pandangan peribadi tentang perlunya umat Islam mempunyai kedai dobi berasingan bagi menjaga kesucian diri mereka.

Fuzi berkata, polis menerima satu laporan polis setakat ini berhubung kes berkenaan.

“Hanya satu laporan dibuat semalam. Mungkin akan ada lebih banyak (laporan yang dibuat) antara semalam dan hari ini. Itu saya tidak tahu. Tetapi semua proses siasatan akan dilakukan termasuk merakamkan kenyataannya (Zamihan),” kata Fuzi.

Zamihan hari ini menafikan mengkritik Sultan Johor, dengan mengatakan beliau hanya memberi pandangan peribadi mengenai perlunya umat Islam mempunyai kedai dobi berasingan untuk menjaga kesucian mereka.

Dalam ceramah agama pada Ahad di Shah Alam, Zamihan didakwa mengatakan bukan hak Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mengharamkan “dobi untuk Islam sahaja” di negerinya.

Zamihan berkata beliau tidak menghina Sultan, dan mempertahankan haknya untuk berkongsi pendapat peribadi tentang perlunya umat Islam supaya “suci” dari agama dengan tidak mencampurkan pakaian dengan bukan Islam, yang disebut sebagai “tidak bersih”.

“Kita ini orang Islam harus mempertahankan prinsip dan hak kita. Bukan Islam boleh guna dobi mesra Muslim tapi kena jaga sensitiviti kita itu,” kata Zamihan kepada The Malaysian Insight.

“Kita kan lebih-lebih lagi negara Islam contoh, negara Islam hadhari dan model terbaik. Mengapa dobi Muslim tidak wajar dibuat. Perdana menteri kita Islam, Raja-Raja kita Islam, majoriti rakyat Islam dan kenapa dobi sedemikian hendak ditutup dan dikenakan tindakan.”

Zamihan juga mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed yang kerajaan akan melancarkan siasatan ke atas kejadian tersebut.

“Yang pertama sekali, siapa saja boleh datang siasat saya. Saya pegawai yang telus dan saya tidak kritik atau menghina sesiapa dalam ceramah berkenaan.

“Saya hanya menjelaskan pandangan peribadi saya (untuk) perlu menyokong dobi Muslim agar terpelihara dan suci.” – 11 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen