MB Perak arah henti pembalakan di tanah adat Orang Asli


Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengeluarkan arahan itu sementara menunggu perbincangan antara kerajaan Perak dan masyarakat Orang Asli terlibat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Ogos, 2019.

MENTERI Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengarahkan semua kegiatan pembalakan di kawasan perkampungan Orang Asli dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak dihentikan serta merta.

Arahan itu dikeluarkan sementara menunggu perbincangan antara kerajaan Perak dan masyarakat Orang Asli terlibat, kata Faizal dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy, selepas mereka mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Peguam Negara Tommy Thomas, semalam.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri komited untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan saksama demi melindungi kepentingan masyarakat Orang Asli di kawasan itu,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu juga dibuat hanya beberapa jam selepas pembalak dengan bantuan pihak Jabatan Perhutanan Perak meruntuhkan sekatan yang dibuat oleh Orang Asli di Kampung Sungai Papan.

Polis juga hari ini mengambil keterangan seorang wartawan foto dari Romania yang berada di kawasan sekatan itu.

Dalam kenyataan itu, Faizal dan Waytha berkata kerajaan persekutuan dan negeri selepas ini akan bekerjasama menyelesaikan apa saja isu melibatkan masyarakat Orang Asli.

“Kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri memandang serius hak masyarakat Orang Asli,” kata mereka.

Arahan pemberhentian serta merta ini menyusul tiga hari selepas Faizal mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya mendakwa Orang Asli di Perak tiada hak ke atas tanah adat kerana status tanah sedemikian tiada dalam undang-undang tubuh negeri.

Beliau membuat kenyataan itu ketika pertembungan antara Orang Asli Temiar dan pembalak dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak sudah berlarutan sejak berbulan-bulan.

Dek kenyataannya, Faizal dikecam pelbagai pihak antaranya aktivis dan persatuan Orang Asli, Badan Peguam Malaysia dan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Sebuah persatuan Orang Asli malah mendesak perdana menteri memecat Faizal dan menggantikan beliau dengan pemimpin yang lebih faham tentang isu Orang Asli.

Mereka mengingatkan Faizal akan keputusan mahkamah yang memberi hak tanah adat kepada Orang Asli dalam kes Sagong Tasi di Selangor pada 2002. Keputusan itu juga kemudian diikuti oleh Mahkamah Tinggi Ipoh semasa memutuskan hak tanah adat Orang Asli Semai di Bidor, Perak pada 2015.

Hari ini, Suhakam dalam satu kenyataan berkata mahu mengadakan pertemuan segera dengan Faizal untuk berbincang mengenai kedudukan hak tanah adat Orang Asli.

Polis minggu lalu menahan enam Orang Asli berhubung sekatan yang dibuat untuk melindungi tanah adat mereka.

Dalam reaksi terhadap tangkapan polis yang pertama, Waytha menyelar permit membalak yang dikeluarkan oleh pentadbiran Faizal.

Katanya, permit itu tidak sah selagi status tanah adat mereka tidak diputuskan mengikut undang-undang. – 1 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen