Orang Asli mahu PM pecat MB Perak


Sebuah persatuan Orang Asli mahu perdana menteri memecat Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kerana bersikap anti kepada Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2019.

SEBUAH persatuan Orang Asli mahu perdana menteri memecat Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu kerana bersikap anti kepada Orang Asli.

Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mahu Dr Mahathir Mohamad menggantikan Faizal dengan pemimpin lain yang lebih mesra dan prihatin akan nasib serta hak Orang Asli, kata pengerusinya Dolah Tekoi.

“Kami mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menukar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu kepada orang lain yang lebih positif membela rakyat berbanding diri beliau yang hanya lebih banyak bersifat anti-Orang Asli. 

“Ini disebabkan beliau langsung tidak mahu mendengar keluhan rakyat, jauh sekali untuk berunding bagi menyelesaikan suatu isu berbangkit tetapi lebih suka berkonfrantasi,” kata Dolah dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dolah, kenyataan Faizal yang tidak membina sebaliknya mencetuskan kontroversi terutama dalam isu tanah akan menyebabkan rakyat terutama Orang Asli benci kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Awal minggu ini, Faizal mengulangi kenyataannya mendakwa tiada tanah adat Orang Asli yang diiktiraf di Perak, memandangkan tiada peruntukan berkaitan tanah adat dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Beliau juga membayangkan kerajaan tidak harus terlalu tunduk kepada desakan untuk mengiktiraf tanah adat Orang Asli kerana kaum lain pun nanti akan menuntut “tanah adat” mereka. 

“Kalau ada NGO (badan masyarakat) yang menyatakan perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing meminta untuk kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula dan orang Jawa cakap benda yang sama,” katanya, seperti dipetik Bernama, pada Isnin.

Faizal membuat kenyataan itu ketika pertembungan antara Orang Asli Temiar dan pembalak dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak sudah berlarutan berbulan-bulan. 

Menurut Dolah, kenyataan Faizal tidak mencerminkan kedudukan undang-undang sebaliknya lebih kepada sifat beliau yang sombong.

“Namun ia tetap menggambarkan pendirian kerajaan negeri kerana dia seorang menteri besar.

“Sebagai seorang aktivis dan juga seorang Orang Asli, saya merasa amat kecewa dengan kepimpinan beliau kerana kami menjangka kedudukan Orang Asli akan menjadi lebih baik di bawah PH tapi sekarang sudah jadi sebaliknya,” kata Dolah.

Kenyataan Faizal bukan saja dikecam Orang Asli tetapi turut dipersoalkan oleh bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan aktivis pembela hak Orang Asli.

Bekas pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah meminta PH mendidik pemimpinnya tentang hak Orang Asli.

Katanya, kenyataan Faizal menunjukkan masih ada dalam kalangan pemimpin PH yang belum faham hak yang diperjuangkan parti itu sendiri dalam manifestonya.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas pula mengingatkan Faizal akan keputusan mahkamah yang mengiktiraf tanah adat Orang Asli di Perak.

Beliau merujuk pada keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada September 2015 yang memberikan hak tanah adat kepada Orang Asli Semai di Bidor.

Kes berkenaan diputuskan dengan merujuk pada penghakiman bersejarah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 April 2002 dalam kes Sagong Tasi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang juga seorang peguam, semalam turut menyelar Faizal kerana membuat kenyataan yang salah, yang tidak berpegang pada kedudukan semasa undang-undang.

Katanya, Faizal sepatutnya mendapatkan nasihat daripada penasihat undang-undang negeri sebelum membuat kenyataan seperti itu.

“Kenyataan beliau memberikan gambaran Orang Asli di Perak tiada hak dan kerajaan negeri tidak berminat melindungi kebajikan mereka, yang jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan sebelum PRU14.

“Beliau sebagai menteri besar sepatutnya ambil langkah untuk meningkatkan kebajikan Orang Asli,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – 31 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen