Tiada tanah adat diiktiraf di Perak, kata MB


Sebelum ini, Orang Asli Temiar dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak membuat laporan polis susulan tindakan pembalak menceroboh tanah adat milik mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2019.

PERAK tidak mempunyai tanah adat untuk mana-mana kaum termasuk Orang Asli, kata Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli atau kaum lain.

“Sebagai rakyat Perak, kita tidak pernah ada tanah adat untuk Orang Asli dan sebagai rakyat negeri ini juga kita sepatutnya perlu tahu jika di jalan raya, ada lampu merah kita kena berhenti, begitu juga untuk isu ini, kita ada undang-undang.

“Kalau ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan perlu berjuang untuk tanah adat Orang Asli bagaimana pula kalau tiba-tiba ada Melayu Mandailing meminta untuk kerajaan menyediakan tanah adat untuk kaum mereka pula dan orang Jawa cakap benda yang sama.

“Ini amat membimbangkan tetapi buat masa ini kerajaan negeri kekal dengan pandangan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri apabila tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat sama ada untuk Orang Asli, orang Melayu, Cina, India, atau mana-mana kaum,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy Sabtu lalu yang meminta kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli dan memastikan masyarakat itu bebas mencari rezeki di hutan.

Waytha juga meminta kerajaan negeri supaya lebih prihatin dan menjaga kebajikan Orang Asli.

Ahmad Faizal berkata, tidak ada konflik berlaku di antara kerajaan negeri dengan komuniti Orang Asli dan mereka sentiasa menjaga hubungan baik.

“Tidak dinafikan kita ada masalah kecil di kawasan Hulu Perak di mana ada sebahagian kecil masyarakat Orang Asli yang mengadakan halangan di kawasan pembalakan, ada juga di sesetengah kawasan membabitkan isu tanah perkuburan dan ada masalah perkampungan Orang Asli yang mempunyai geran bersama.

“Konflik antara kaum ini tidak bagus dan tolong jangan melakukan provokasi dan mewujudkan konflik antara kaum (khususnya Orang Asli) dengan kerajaan (negeri),” katanya.

Sebelum ini, Orang Asli Temiar dekat Hutan Simpan Air Chepam di Hulu Perak membuat laporan polis susulan tindakan pembalak menceroboh tanah adat milik mereka.

Mereka juga membuat satu laporan polis berasingan berhubung tindakan polis menahan tiga lelaki Orang Asli yang membuat sekatan demi melindungi hak mereka ke atas tanah adat berkenaan.

Jabatan Perhutanan Perak bagaimanapun menafikan pembalak mencerobohi tanah adat Orang Asli berkenaan dan berkata mereka diberikan kelulusan mengeluarkan balak dari kawasan seluas 80 hektar di hutan simpan berkenaan.  – 29 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen