ORANG Asli Temiar dekat Hutan Simpan Air Chepam, di Hulu Perak hari ini membuat laporan polis susulan tindakan pembalak menceroboh tanah adat.
Mereka juga membuat satu laporan polis berasingan berhubung tindakan polis menahan tiga lelaki Orang Asli yang membuat sekatan pada Sabtu lalu.
Wakil Penduduk Kampung Sungai Papan, Anjang Aluej berkata laporan polis dibuat di Balai Polis Gerik pada jam 6.30 petang tadi.
“Untuk hari ini, kami buat laporan polis untuk dua kes berasingan membantah tindakan pembalak menceroboh tanah adat dan tindakan polis menahan tiga Orang Asli tanpa sebab ” katanya kepada The Malaysian Insight.
Anjang berkata tindakan pembalak yang dibantu polis itu seolah-olah tidak menghormati hak mereka sebagai Orang Asli, yang sudah diperakui dalam undang-undang.
“Kalau lihat pembalak beberapa kali memusnahkan sekatan kami walaupun kami tidak benarkan.
“Ia bermula pada 11 Julai (Khamis) dan pada Sabtu mereka (pembalak) datang bersama polis merobohkan sekatan dan menangkap tiga orang kami,” katanya.
Wakil penduduk Kampung Sungai Papan itu berkata tindakan pembalak semakin agresif pada Ahad apabila mereka pula cuba untuk membuat sekatan menghalang Orang Asli.
“Namun pembalak tidak berjaya, selepas masuk dan tambak tanah di depan sekatan mereka keluar balik,” katanya.
Anjang berkata laporan polis mengenai penahanan tiga Orang Asli Temiar juga dibuat kerana tidak puas hati mereka dilayan sebagai penjenayah.
“Polis tangkap kami padahal kami tak lakukan sebarang kekasaran, kami cuma duduk di depan sekatan.
“Masa tangkap pun mereka (polis) tak beritahu apa kesalahan kita, cuma tangkap dan gari kita, macam kita penjenayah buat salah besar,” kata Jamal Endi, seorang daripada tiga yang ditahan pada Sabtu lalu.
Selain Jamal, polis turut menahan Zaiman Long dan Muhamad Nazreen Bah Dadu.
Mereka dilepaskan pada hari yang sama selepas memberi keterangan kepada polis.
Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Papan mendakwa pembalak cuba memasuki tanah adat mereka yang didaftar atas nama Ong Kensel sejak April lalu.
Pada Jumaat, mereka mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perhutanan Perak untuk membincangkan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli.
Namun mereka dimaklumkan bahawa pembalak tersebut mempunyai permit yang diluluskan oleh exco negeri.
Anjang berkata mereka sudah meminta supaya ditunjukkan permit itu tetapi diberitahu dokumen tersebut “rahsia kerajaan”.
Pada Sabtu, Menteri Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional P Waytha Moorthy dalam reaksinya terhadap penahanan tiga Orang Asli itu berkata permit kerajaan negeri kepada pembalak tidak sah selagi status tanah adat tidak diputuskan mengikut undang-undang.
Katanya, mahkamah selama ini sudah mengiktiraf kedudukan tanah adat Orang Asli dan tindakan mengeluarkan permit membalak di tanah berkenaan melampui ketetapan undang-undang. – 22 Julai, 2019.
Komen