Jabatan Perhutanan nafi pembalak ceroboh tanah suku Temiar


Diyana Ibrahim

Jabatan Perhutanan Perak menafikan pembalak mencerobohi tanah adat Orang Asli Temiar di hulu Perak, berkata syarikat pembalak itu diberikan kelulusan mengeluarkan balak dari kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak. – Gambar Facebook, 23 Julai, 2019.

JABATAN Perhutanan Perak menafikan pembalak mencerobohi tanah adat Orang Asli Temiar di hulu Perak.

Jabatan itu berkata syarikat pembalak itu diberikan kelulusan mengeluarkan balak dari kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak. 

“Pelesen ini telah selesai menjalankan pengusahasilan (seluas 38 hektar – Petak 1) dan masih lagi berbaki 42 hektar yang belum diusahasilkan.

“Jalan masuk ke Petak 2 yang terletak di Hutan Simpan Air Chepam ini yang menjadi pertikaian dan dibina sekatan oleh Orang Asli Sungai Papan,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Jabatan itu juga menyatakan, sekatan yang dibuat Orang Asli Temiar Sungai Papan itu dibuat atas tanah milik Felda.

Jabatan itu menyatakan demikian selepas masyarakat Orang Asli itu mendirikan semula sekatan sejak minggu lalu.

Tiga orang penduduk ditangkap polis pada Sabtu lalu sewaktu pembalak cuba merobohkan sekatan berkenaan.

Seorang lagi ditahan hari ini di sekatan tersebut walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy semalam meminta agar polis tidak memihak kepada pembalak. 

Jabatan Perhutanan berkata pembalak juga ada membuat dua laporan polis mendakwa Orang Asli Temiar menjadi dalang membina sekatan menghalang dicerobohi.

“Syarikat pembalakan bertarikh 17 Julai 2019 membuat laporan polis. Maklumat daripada pihak PDRM tentang penahanan tiga lelaki Orang Asli Temiar ini adalah kerana disyaki menjadi dalang sekatan/manusia. 

“Semakan menunjukkan ketiga-tiga lelaki itu bukan berasal dari Sungai Papan, sebaliknya berasal dari Kampung Cunex (kampung serpihan daripada RPS Dala),” kata jabatan itu.

Jabatan itu menambah, pembalak sekali lagi membuat laporan pada 19 Julai bertujuan menjaga keselamatan pekerja, jentera.

Pembalak juga memohon bantuan keselamatan pihak polis untuk merobohkan sekatan yang dibina, kata jabatan itu lagi.

Pada masa sama Jabatan Perhutanan menafikan terlibat dalam kerja merobohkan sekatan pada 20 Julai lalu.

Jabatan itu berkata pihaknya sentiasa memantau dan memastikan pihak pelesen mematuhi semua prosedur, syarat-syarat dan tatacara yang telah ditetapkan. 

Ia juga berkata sebanyak 55 lesen pengusahasilan dikeluarkan sehingga Jun 2019 dengan keluasan 4,083 hektar.

“Pengeluaran lesen  masih lagi mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) Jabatan sebanyak 7,744 hektar bagi tahun 2019. 

“Kawalan ini adalah selaras dengan pematuhan terhadap CTT sepertimana yang telah di putuskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) di mana sekaligus menjamin sumber bekalan kayu secara berterusan dalam kuantiti yang stabil kepada industri berasas kayu di Negeri Perak,” kata jabatan itu. – 23 Julai, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen