POLIS membawa seorang wartawan dari Romania ke balai polis untuk diambil keterangannya selepas didapati berada di sekitar tempat Orang Asli Temiar di Hulu Perak membuat sekatan di jalan masuk ke Kampung Sungai Papan dekat Gerik.
Wartawan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik dan dibebaskan pada 1.30 petang tadi selepas keterangannya diambil, kata Ketua Polis Daerah Gerik Ismail Che Isa.
“Wartawan dari Romania itu kita tidak tahan… cuma (untuk) dokumentasi saja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan wartawan berkenaan ialah Alexandra Radu, seorang wartawan foto bebas yang sudah tujuh tahun berpengalaman membuat liputan di Asia Tenggara.
Badan hak asasi Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) awal hari ini mendakwa polis menahan seorang wartawan asing di sekatan mempertahankan tanah adat Orang Asli dekat Hutan Simpan Ulu Chepam.
Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa mereka menerima maklumat dari Orang Asli berkenaan bahawa sekatan mereka diruntuhkan pagi ini.
Presiden Peka Shariffa Sabrina Syed Akil berkata pembalak juga pagi tadi masuk ke tanah adat Orang Asli dengan diiringi pegawai dari Jabatan Perhutanan Perak.
“Kami kesal pihak berkuasa negeri dan pembalak terus berdegil dan tetap menceroboh tanah adat walaupun beberapa laporan polis dan aduan dibuat kepada pihak berkuasa, dan ketika siasatan sedang berjalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menyeru kerajaan persekutuan untuk campur tangan demi melindungi kepentingan Orang Asli daripada terus dicabul, sementara menunggu kedudukan tanah adat itu diputuskan oleh mahkamah.
Katanya, sikap pihak berkuasa negeri dan pembalak memijak hak Orang Asli ke atas tanah adat serta membelakangkan undang-undang adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
“Kegiatan pembalakan mesti ditangguhkan segera untuk menghentikan kerosakan di kawasan berkenaan yang akan menjejaskan cara hidup Orang Asli di situ,” katanya.
Perkembangan hari ini menyusul hanya tiga hari selepas Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata Orang Asli di Perak tiada hak ke atas tanah adat kerana status tanah sedemikian tiada dalam undang-undang tubuh negeri.
Kenyataan beliau bagaimanapun dikecam pelbagai pihak antaranya aktivis dan persatuan Orang Asli, Badan Peguam Malaysia dan bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Sebuah persatuan Orang Asli malah mendesak perdana menteri memecat Faizal dan menggantikan beliau dengan pemimpin yang lebih faham tentang isu Orang Asli. – 1 Ogos, 2019.
Komen