.jpg)
SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang tiada tanah adat Orang Asli di bawah undang-undang tubuh negeri. Beliau juga berkata tiada dan tidak wujud tanah adat mana-mana kaum di Perak.
Saya ingin menegaskan beberapa perkara berkaitan perkara tersebut.
Harus diingatkan Orang Asli tidak pernah dilibatkan dalam proses pembentukan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana akta yang ada di negeri atau negara ini hatta Akta Orang Asli 1954 atau Akta 134.
Semua keputusan penentuan undang-undang dan akta dibuat hanya melibatkan pegawai kerajaan dan pihak lain, tidak melibatkan pihak komuniti atau wakil Orang Asli.
Oleh kerana hanya sebelah pihak yang membentuk dan merangka undang-undang tersebut, sudah pasti keputusan mereka akan berpihak kepada mereka dan mereka yang berkepentingan sahaja.
Mereka ingat merekalah tuan kepada segala tanah dan sumber apabila memerintah.
Persoalannya, kenapa pada ketika itu Orang Asli yang mengamalkan budaya dan adat resam, tidak diambil peduli kemahuan dan kebimbangan mereka?
Apakah kerana ketika itu (dan sekarang juga), Orang Asli dianggap kelompok kaum yang tidak layak untuk dilibatkan atau dirunding?
Sejak sekian lama, Orang Asal banyak membawa kes tuntutan hak tanah dan wilayah adat mereka ke mahkamah.
Keputusannya, hampir semua kes tuntutan yang difailkan menang dengan mahkamah mengiktiraf tanah yang sedang diduduki, digunapakai, diurus tadbir dan dipulihara serta dilindungi secara turun temurun oleh sesebuah komuniti dalam sesebuah wilayah adat atau nenggrik (dalam bahasa Semai) adalah tanah adat.
Tanah adat bukanlah sesuatu yang diberi atau boleh dibeli. Ia diwarisi sejak turun temurun. Ia penuh dengan elemen sejarah setempat, legenda, hukum adat dan peraturan serta terpelihara kesuciannya.
Mustahil masyarakat Melayu, Cina, India, Jawa, dan Mandailing juga akan menuntut tanah adat dan wilayah. Kenyataan tersebut mengelirukan orang ramai.
Orang Asli selama ini menuntut tanah dan wilayah adat kami yang diiktiraf, hanya di Semenanjung Malaysia saja dan itu pun di kawasan kami tinggal, guna pakai dan pulihara turun temurun.
Kami tidak memintanya di negeri lain hatta di Sabah atau Sarawak pun kami tidak pernah dan tidak akan minta.
Sebagai seorang menteri besar, dalam lingkungannya sudah pasti terdapat orang bijak pandai seperti peguam yang memberi khidmat nasihat undang-undang dan sebagainya.
Berhubung kenyataan menteri besar tersebut, sifat mereka yang bijak pandai ini tidak digunakan tetapi kelebihan mereka ini hanya untuk membenarkan tindakan dan memilih sesuatu yang memihak pendirian mereka.
Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu tidak sepatutnya berdiam diri dan membiarkan menteri besar Perak keluarkan kenyataan atau membuat keputusan sesuka hati terhadap Orang Asli atau mana-mana kaum kerana tindakan demikian boleh menimbul salah faham dan ketidakadilan.
Jika alasan tanah adalah kuasa penuh kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri, saya dengan ini menyarankan kerajaan pusat dan juga menteri berkaitan menasihatkan kerajaan negeri dalam hal ini.
Harus dingat tindakan menteri besar ini bertenangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri yang kononnya sangat prihatin terhadap isu Orang Asli dan berjanji untuk iktiraf tanah adat Orang Asli.
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu bermati-matian meminta sokongan daripada rakyat, setelah mendapat sokongan majoriti dan membentuk kerajaan, kamu pula menindas kami dengan memberi alasan kuasa tanah kuasa kerajaan negeri.
Pendirian dan harapan kami sangat tinggi yang kami letakkan kepada kerajaan PH.
Setelah sekian lama berjuang, ramai dalam kalangan pemerintah adalah mereka yang bersama-sama dengan kami dalam menuntut hak Orang Asal khususnya dan hak asasi manusia amnya.
Saya menyatakan di sini bahawa kenyataan menteri besar Perak ini sesuatu yang berniat jahat dan berbentuk penafian dan tidak hormat terhadap kami sebagai Orang Asli dan juga tidak hormat manifesto PH sendiri.
Saya dengan ini menggesa supaya menteri besar Perak menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada semua Orang Asli di Malaysia.
Ingat, jangan perjudikan masa depan PH dengan keangkuhan sendiri. – 31 Julai, 2019.
* Tijah Yok Chopil adalah pengerusi penyelaras Gerakan Jaringan Kampung Orang Asli Perak.
Komen