MB Perak salah mengenai hak tanah adat Orang Asli


BADAN Peguam Malaysia memandang berat laporan media baru-baru ini mengenai kenyataan yang dibuat oleh menteri besar Perak bahawa tiada tanah adat atau warisan di Perak memandangkan kesemua tanah ini tidak diiktiraf oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undang-undang berkenaan.

Dalam hal ini, pendapat menteri besar bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undang-undang bertulis mestilah dengan nyata mengesahkan tanah adat Orang Asli sebelum tanah-tanah itu diiktiraf secara undang-undang adalah salah dari segi undang-undang.

Tafsiran “undang-undang” dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya termasuk “common law” yang menggabungkan prinsip undang-undang tempatan yang terkandung di dalam keputusan mahkamah Malaysia.  

Selama lebih 20 tahun, Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan berkali-kali mengiktiraf kesinambungan hak Orang Asli di Semenanjung Malaysia ke atas tanah dan sumber yang dipegang oleh mereka berdasarkan adat, penggunaan dan undang-undang mereka dengan syarat mereka sebelumnya dan secara berterusan menduduki, menggunakan dan menikmati tanah dan sumber sedemikian menurut tradisi mereka sendiri (lihat Kerajaan Negeri Johor v Adong Bin Kuwau [1998] 2 MLJ 158; Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289).  

Bercanggah dengan justifikasi yang diberikan oleh menteri besar Perak, hak sedemikian boleh didapati wujud oleh mahkamah tanpa pengiktirafan rasmi oleh Badan Eksekutif dan Perundangan Negeri disebabkan oleh kedudukan istimewa perlembagaan dan undang-undang Orang Asli (lihat Kerajaan Negeri Johor v Adong Bin Kuwau[1998] 2 MLJ 158; Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli v Mohamad Bin Nohing (Batin Kampung Bukit Rok) dan rayuan lain [2015] 6 MLJ 527).

Adalah juga jelas bahawa prinsip undang-undang hak tanah adat Orang Asli di atas didapati terpakai di Perak (lihat Kong Chee Wailwn Pengarah Tanah Dan Galian Perak [2016] 1 CLJ 605 (disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam Kong Chee Wai & Anor v Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rayuan Sivil No. A-01-(NCVC)(A)-38S-12/2015, 24 Oktober 2016).

Oleh demikian, Badan Peguam Malaysia mengingatkan kerajaan Perak untuk untuk lebih berhati-hati dan bertindak secara berhemah sebelum membuat kenyataan awam mengenai hak perundangan yang diberikan kepada Orang Asli.

Badan Peguam Malaysia juga mengulangi seruannya kepada kerajaan Perak untuk menghormati kewajipan perundangan dan fidusiarinya untuk melindungi tanah Orang Asli (lihat Kong Chee Wai lwn Pengarah Tanah Dan Galian Perak [2016] 1 CLJ 605 (yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam Kong Chee Wai & Anor lwn Pengarah Tanah dan Galian Perak, Rayuan Sivil No. A-01-(NCVC)(A)-38S-12/2015, 24 Oktober 2016); Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005] 6 MLJ 289) seperti yang dibuat di dalam kenyataan media bertarikh 26 Februari 2019 dan 22 Mei 2019, dan untuk:

(1) mengenakan, sebagai tindakan interim, suatu moratorium ke atas pewujudan kepentingan terhadap mana-mana tanah dan sumber, dan ke atas penerusan pengeluaran sumber dan aktiviti penguatkuasaan di dalam kawasan yang didakwa sebagai kawasan adat Orang Asli, sementara menunggu penyelesaian tuntutan kawasan adat komuniti Orang Asli yang terjejas; dan

(2) mengambil semua langkah yang berpatutan — termasuklah tindakan perundangan — untuk mencapai semangat dan niat Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (2007) (United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (2007)). – 31 Julai, 2019.

* Abdul Fareed Abdul Gafoor adalah presiden Badan Peguam Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen