Hak Orang Asli termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan


SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendapati bahawa komen Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung hak tanah adat Orang Asli dan tiadanya pengiktirafan terhadapnya sebagai tidak wajar, menyinggung dan tidak menghormati Orang Asli, yang mana hak mereka termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui undang-undang seperti Akta Orang Asli 1954 dan juga Perisytiharan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli (UNDRIP) yang disokong oleh Malaysia pada 2007.

Hak Tanah Adat dilindungi di bawah Kanun Tanah Negara setiap negeri berdasarkan penggazetan namun demikian penggazetan ini tidak menyeluruh dan banyak kawasan yang masih belum diiktiraf sebagai tanah adat Orang Asli. 

Pengiktirafan Tanah Adat mestilah berdasarkan pada pendudukan tradisional selama beberapa generasi sebelum konsep moden geran tanah dan amalan kebudayaan seperti kawasan rayau tanah seperti yang dinyatakan dalam kes-kes penting seperti Adong bin Kuwau & Ors v Kerajaan Negeri Johor & Anor 1998 dan Sagong bin Tasi &. Ors v Kerajaan Negeri Selangor 2002.

Ketiadaan pengiktirafan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa dan syarikat swasta mempengaruhi secara langsung kepada peningkatan pengambilan tanah secara haram dan pencerobohan Tanah Adat Orang Asli. 

Walaupun dengan adanya keputusan Mahkamah Tinggi di Ipoh yang berpihak kepada hak Orang Asli terhadap peninggalan nenek moyang mereka, kelihatannya kegiatan tersebut akan tetap berterusan.

Sikap tidak ambil peduli terhadap Orang Asli terutamanya oleh mereka yang mempunyai kuasa bukan merupakan perkara baharu. Penangkapan tiga Orang Asli Temiar oleh pihak polis kerana terlibat dalam halangan di Gerik menimbulkan persoalan mengenai penghormatan hak-hak Orang Asli yang mempunyai akses yang terhad terhadap keadilan. 

Walaupun tindakan kerajaan Persekutuan untuk menyaman kerajaan negeri Kelantan mengenai pencerobohan tanah Orang Asli awal tahun ini dipuji, ia hanya satu langkah dalam sejarah berpanjangan penafian hak Orang Asli. 

Suhakam kesal dengan pencabulan berterusan hak Orang Asli oleh sektor awam dan swasta yang dibenarkan berlaku oleh kerajaan, ini menggambarkan tindakan tidak bertimbang rasa untuk menafikan hak mereka terhadap mata pencarian dan pergerakan. 

Suhakam menggesa agar satu moratorium diletak ke atas projek-projek pembangunan yang melibatkan tanah adat Orang Asli, sementara menunggu pelaksanaan cadangan-cadangan Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asli 2013 termasuk syor untuk menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan mengenai Orang Asli bagi menasihati kerajaan tentang undang-undang dan dasar; mencadangkan dan memantau program-program pembangunan lestari mengenai Orang Asli; mempromosi penyertaan Orang Asli di kesemua peringkat; dan menjalankan kajian tentang isu-isu berkaitan kesejahteraan Orang Asli.

Suhakam juga ingin mengingatkan kerajaan akan komitmennya di bawah Janji 38 Manifesto Pakatan Harapan untuk memperjuangkan kepentingan Orang Asli di Semenanjung Malaysia termasuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada Inkuiri Nasional Suhakam, memastikan agar hak tanah Orang Asli dilindungi dengan lebih baik dan menjalankan kajian menyeluruh bagi mengenal pasti secara tepat sempadan tanah adat.

Suhakam telah bertemu dengan menteri besar Perak pada 20 September 2018 bagi menangani isu hak tanah Orang Asli dan isu-isu hak asasi manusia lain berkaitan dengan mereka. 

Menteri besar telah memaklumkan suruhanjaya bahawa kerajaan negeri akan berjumpa dengan komuniti Orang Asli bagi membincangkan isu-isu yang telah dibangkitkan.

Suhakam kini sedang memohon agar satu mesyuarat susulan dapat diadakan. – 1 Ogos, 2019.

* Kenyataan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen