Akta Hasutan pilihan akhir pendakwaan, kata Tommy Thomas


Peguam Negara Tommy Thomas berkata, Akta Hasutan 1948 akan terus dipakai sebagai jalan akhir untuk pendakwaan sekiranya tiada lagi undang-undang lain yang sesuai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2019

AKTA Hasutan 1948 akan terus dipakai sebagai jalan akhir untuk pendakwaan sekiranya tiada lagi undang-undang lain yang sesuai, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Katanya, Akta Hasutan masih lagi terpakai sebagai undang-undang yang sah selagi ia belum dimansuhkan oleh Parlimen.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sudah tidak membuat apa-apa pertuduhan baru mengikut Akta Hasutan sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Malaysia daripada Barisan Nasional, setahun yang lalu.

“Cabaran bagi (Jabatan Peguam Negara) ini adalah untuk mengimbangkan kebebasan bersuara yang semakin luas selepas PRU14 dan tersebarnya ucapan-ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat. 

“Sekiranya pendakwaan dijalankan, Jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan.

“Namun dalam keadaan di mana tiada alternatif di bawah undang-undang, untuk kes-kes yang bersesuaian Jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya, Thomas menarik perhatian kepada peningkatan insiden ucapan berunsur kebencian terutamanya yang dibuat di atas talian yang menyentuh soal kaum, agama dan raja-raja.

Katanya, pertambahan insiden itu dalam sebuah masyarakat yang majmuk bermakna “kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan”.

Atas alasan itu, pihaknya tidak teragak-agak akan menggunakan Akta Hasutan bagi kes yang menyalahgunakan kebebasan bersuara, sekiranya tiada pilihan lain. 

Thomas juga mendedahkan setakat ini pihaknya belum mendapat makluman daripada Jemaah Menteri mengenai kedudukan Akta Hasutan.

Beliau juga mengingatkan bahawa sebagai Peguam Negara beliau ada kuasa budi bicara untuk menentukan pendakwaan dan tidak tertakluk kepada “arahan”, sekiranya ada, daripada Jemaah Menteri.

Thomas mengeluarkan kenyataannya sebagai mengulas kes terhadap penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin mengikut Akta Hasutan yang jadi perhatian umum minggu ini selepas hukuman penjara ke atasnya ditambah oleh mahkamah.

Wan Ji, 37, dikenakan hukuman penjara sembilan bulan pada April 2014 selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina Sultan Selangor, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, melalui satu tulisannya di Facebook pada November 2012.

Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam bukan saja menolak rayuan Wan Ji tetapi menambahkan hukumannya untuk tiga bulan lagi, atas permintaan pihak pendakwaan.

Susulan keputusan mahkamah itu, peguam, badan hak asasi manusia dan pemimpin politik termasuk dalam kalangan Pakatan Harapan turut mempersoalkan komitmen kerajaan mahu menunaikan janji PRU14 memansuhkan Akta Hasutan.

Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih membuat kajian mengenai pelaksanaan pemansuhan Akta Hasutan.

Kerajaan pernah menggantung penggunaan Akta Hasutan sementara ia dimansuhkan, atas persetujuan Jemaah Menteri pada Oktober 2018.

Tidak sampai dua bulan kemudian, Muhyiddin mengumumkan keputusan kabinet menangguhkan penggantungan akta itu susulan rusuhan di sebuah kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor pada akhir hujung November. – 12 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen