Kabinet tangguh gantung Akta Hasutan untuk kes kuil Hindu


Polis dibenar menggunakan beberapa akta yang sedang dikaji untuk dimansuhkan bagi mengendalikan kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, Isnin lalu.

JEMAAH Menteri menangguhkan penggantungan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, khusus untuk polis mengendalikan kes rusuhan di kuil Hindu di Subang Jaya, Selangor minggu lalu, kata Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kabinet Jumaat lalu, berdasarkan keadaan semasa dan apa yang berlaku berkaitan kes Kuil Sri Maha Mariamman itu.

“Polis dibenarkan mengguna pakai akta berkenaan walaupun ia sedang dikaji dengan lebih teliti,” katanya pada sidang media selepas melawat anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan di tapak kuil berkenaan, hari ini.

Menurut Muhyiddin, cadangan penangguhan penggantungan itu dibawa kepada perhatian jemaah menteri oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Polis kini membuka empat kertas siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung rusuhan dan kekacauan di kuil itu awal minggu ini, termasuk terhadap exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang juga dikenali sebagai blogger Papagomo.

Dalam pada itu, polis juga diberi kuasa penuh untuk menggunakan undang-undang lain termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas (SOSMA) 2012, Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2017 (POCA), serta Akta Pencegahan Keganasan (POTA), kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan polis setakat ini menahan 58 orang bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Ada beberapa lagi individu yang disyaki akan ditahan,” katanya, yang juga memaklumkan polis menerima lebih 5,000 laporan di seluruh negara, yang semuanya diberi perhatian serius.

Polis minggu lalu menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dan memburu suspek rusuhan di kuil Hindu tersebut, termasuk mereka yang menyerang anggota polis dan bomba.

Mengenai insiden yang menyebabkan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan dirawat di Institut Jantung Negara, Muhyiddin berkata polis masih lagi menyiasat.

Kuil Hindu di Subang Jaya itu jadi titik perhatian selepas sekumpulan perusuh menyerang tapak kuil itu pada awal pagi Isnin lalu. Suasana tegang berlarutan pada malam esoknya apabila perhimpunan penganut Hindu dekat tapak kuil itu bertukar ganas.

Pihak berkuasa dan pihak pengurusan kuil bagaimanapun menegaskan apa yang berlaku langsung tidak ada kena mengena dengan isu perkauman atau agama. – 2 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen