Kenapa pendakwa mahu hukuman lebih keras untuk Wan Ji, tanya peguam


Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin diarahkan menjalani hukuman penjara hari ini selepas mahkamah menolak rayuan ke atas sabitan bagi kesalahan menghina Sultan Selangor.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2019

PENDAKWA raya mesti beri penjelasan kepada umum kenapa mereka mahu hukuman lebih berat ke atas Wan Ji Wan Hussin ketika kerajaan ada rancangan mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948, tanya peguam Syahredzan Johan.

Malah sebelum ini pendakwa raya pernah juga menarik balik beberapa pertuduhan di bawah akta berkenaan, katanya yang juga setiausaha politik kepada Lim Kit Siang.

“Oleh itu, Pendakwa Raya mesti memberi penjelasan mengapa pihaknya telah membuat rayuan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji, bertentangan dengan dasar Kerajaan Persekutuan mengenai Akta Hasutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kuasa pendakwa raya pada masa ini terletak pada Peguam Negara Tommy Thomas menurut Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Peguam Negara ada kuasa ikut budi bicaranya dalam apa saja prosiding sebagai pendakwa raya.

Syahredzan bagaimanapun menjelaskan pertanyaannya ini bukan bermakna beliau setuju dengan perbuatan Wan Ji yang menyebabkan beliau didakwa.

Malah katanya, kalau kerajaan hapuskan Akta Hasutan sekarang sekali pun, ia tidak mengubah sabitan dan hukuman ke atas Wan Ji kerana perbuataan berkenaan dibuat semasa undang-undang itu masih berkuat kuasa.

“Akan tetapi, untuk memastikan tiada lagi rakyat Malaysia seperti Wan Ji dijenayahkan kerana Akta Hasutan yang zalim dan lapuk itu, maka saya menggesa sekali lagi supaya kerajaan persekutuan mempercepatkan usaha untuk memansuhkan akta tersebut,” katanya.

Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih membuat kajian mengenai pelaksanaan pemansuhan Akta Hasutan.

Wan Ji disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada April 2018 atas tuduhan menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, dan dihukum penjara sembilan bulan.

Kesalahan yang didakwa terhadapnya dilakukan pada 2012.

Sementara itu, badan hak asasi manusia Suaram turut kesal dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, mengekalkan sabitan ke atas Wan Ji dan menambah hukuman.

Ia juga berpendapat Wan Ji adalah mangsa kegagalan kerajaan Pakatan Harapan, sama seperti pelukis karikatur Fahmi Reza yang rayuannya atas sabitan di bawah Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ditolak oleh mahkamah.

Suaram menggesa kerajaan segera memansuhkan Akta Hasutan selain menangguhkan pemakaiannya, serentak dengan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ia juga menggesa jawatankuasa parlimen memanggil ketua bahagian pendakwaan di Pejabat Peguam Negara untuk menjawab kenapa Akta Hasutan masih dipakai walaupun kerajaan mahu memansuhkannya. – 9 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen