PENDAKWAH bebas Wan Ji Wan Hussin diarahkan menjalani hukuman penjara hari ini selepas mahkamah menolak rayuan ke atas sabitan bagi kesalahan menghina Sultan Selangor.
Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan bagi kesalahan mengikut Akta Hasutan itu dan menambah hukuman penjara kepada setahun atas rayuan balas oleh pihak pendakwaan.
Hakim Abdul Halim Aman juga menolak permohonan peguamnya Mohd Radzlan Jalaluddin untuk menangguhkan hukuman sehingga rayuan muktamad.
Menurut Mohd Radzlan, mahkamah memberi alasan rayuan itu belum difailkan secara rasmi yang menyebabkan Wan Ji diarah menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
“Wan Ji terus dimasukkan ke penjara (hari ini). Permohonan penangguhan perlaksanaan hukuman penjara hanya akan didengar kemudian selepas rayuan permohonan mengenainya dimasukkan secara formal,” katanya.
Penceramah itu didakwa Seksyen 4(1) Akta Hasutan atas dakwaan menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui satu kenyataan di Facebook.
Beliau seterusnya disabitkan dengan kesalahan itu dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan.
Dalam mitigasinya pada tahun lalu, peguam memberitahu mahkamah Wan Ji adalah penanggung tunggal keluarganya yang mempunyai lima anak dan seorang isteri tidak bekerja.
Jika tertuduh dipenjarakan, sukar untuk isterinya menanggung anak mereka berusia antara setahun hingga 14 tahun.
Akta Hasutan 1948 masih terpakai walau kerana masih belum dimansuhkan walau kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk berbuat demikian semasa kempen pilihan raya umum ke-14.
Pada Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan masih membuat kajian mengenai pelaksanaan pemansuhannya.
Dalam keputusannya, hakim menyifatkan perbuatan Wan Ji “sudah terang lagi bersuluh” adalah satu penghinaan terhadap Sultan Selangor.
“Apa yang diterbitkan daripada penerbitan itu bukan saja sesuatu yang menghasut malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap institusi Raja.
“Ini satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukunegara iaitu kesetiaan kepada raja.
“Walaupun sebagai warga negara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan. Jangan kita lupa satu lagi prinsip Rukunegara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya. – 9 Julai, 2019.
Komen