Pemuda Pakatan pula gesa kerajaan hapus segera Akta Hasutan


Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Howard Lee (tengah) mengingatkan kerajaan berhubung manifesto pilihan raya parti untuk menghapuskan Akta Hasutan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2019

PEMUDA Pakatan Harapan mendesak kerajaan memansuhkan segera akta zalim termasuk Akta Hasutan 1948, selepas pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dikekalkan sabitannya dan ditambah hukuman penjara tiga bulan oleh mahkamah semalam atas kesalahan yang dibuat tujuh tahun lalu.

Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan Howard Lee mengingatkan kerajaan bahawa memansuhkan undang-undang dari era penjajahan British itu adalah janji manifesto pilihan raya parti.

“Kami mendesak pihak Pendakwa Raya untuk segera memberi penjelasan mengapa pihaknya mahu hukuman yang lebih berat ke atas Wan Ji yang jelas bertentangan dengan dasar Kerajaan Pakatan Harapan mengenai akta yang zalim ini.

“Kami juga menggesa Kerajaan Pesekutuan untuk menyegerakan pemansuhan Akta Hasutan supaya perlanggaran hak sebegini tidak lagi berulang,” katanya yang juga Ketua Pemuda DAP dalam dalam kenyataan bersama ketua sayap pemuda empat komponen Pakatan Harapan hari ini.

Kenyataan dikeluarkan bersama oleh Howard yang merupakan ketua Pemuda DAP, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan.

Sebelum Pemuda PH, beberapa peguam termasuk pendukung PH serta badan hak asasi seperti Lawyers for Liberty dan Bersih 2.0 turut membuat gesaan yang sama.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam menambah tiga bulan hukuman penjara ke atas Wan Ji atas rayuan silang pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 9 bulan yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada April 2018.

Beliau disabitkan tuduhan menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor pada November 2012.

Dalam menolak rayuan Wan Ji ke atas sabitan dan hukuman, Hakim Abdul Halim Aman berkata kata-kata penghinaan terhadap Sultan Selangor itu melebihi daripada sekadar menghasut.

Ia juga menanam sifat kebencian rakyat terhadap institusi raja, katanya.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan. Kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja.

“Walaupun sebagai warga negara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan. Jangan kita lupa satu lagi prinsip Rukunegara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” kata hakim itu seperti dipetik media.

Wan Ji mula menjalani hukuman penjara semalam selepas mahkamah juga menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan. – 10 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen