Kabinet gantung Akta Hasutan


Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata Kabinet akan menggantung semua tindakan di bawah Akta Hasutan 1948. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

KABINET setuju menggantung semua tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, sementara akta warisan sebelum Merdeka itu dimansuhkan oleh Parlimen.

Keputusan Kabinet itu diumumkan sehari selepas kerajaan menangguhkan pelaksanaan hukuman mati yang usul pemansuhannya akan dibawa ke Parlimen minggu depan.

Menurut Gobind, kabinet membuat keputusan itu selepas meneliti kertas cadangan penggantungan yang beliau kemukakan dalam mesyuarat mingguannya semalam.

“Keputusan sudah dibuat oleh Kabinet semalam iaitu oleh sebab kita akan mansuhkan Akta Hasutan, undang-undang itu digantung sementara.

“Keputusannya akan dimaklumkan kepada Peguam negara, dan itu sedang diusahakan,” kata Gobind, seperti dipetik portal berita Star Online.

Jelas Gobind, usul pemansuhan akta itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang yang bermula Isnin ini.

Isnin lepas, Gobind berkata beliau akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet semalam. Katanya, pemansuhan akta itu sepatutnya dibawa ke Parlimen minggu depan.

“Pakatan Harapan (PH) berada di landasan yang betul untuk memansuhkan Akta Hasutan. Peguam negara sedang berusaha,” tulisnya di Twitter pada Isnin lalu, mengulas pandangan beberapa peguam yang kecewa dengan janji kerajaan mahu membatalkan undang-undang itu.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, PH berjanji mahu memansuhkan semua undang-undang yang dianggap menindas termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 serta pelaksanaan hukuman mati.

Akta Hasutan bagaimanapun terus dipakai oleh polis untuk menyiasat beberapa kes termasuk individu yang didakwa membuat kenyataan yang menghina Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Minggu lalu, adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam ditahan reman hari untuk disiasat mengikut Akta Hasutan kerana didakwa menghina Dr Mahathir.

Tindakan polis itu dikritik banyak pihak termasuk pemimpin dan penyokong PH kerana janji parti itu sebelum PRU14.

Dr Mahathir sendiri berkata polis tidak patut menahan mana-mana individu yang mengkritik pemimpin kerana sebagai ahli politik, pemimpin mesti bersedia untuk dikritik.

Kes adik Lokman itu dipercayai bukan yang pertama sejak PRU14. Lebih kurang seminggu selepas PH membentuk kerajaan di Putrajaya dan Dr Mahathir menerajui kerajaan sekali lagi, polis menahan seorang lelaki kerana didakwa menghina perdana menteri. – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen