Tak patut polis tahan orang kritik ahli politik, kata PM


Perdana Menteri Dr Mahathir berkata ahli politik perlu terima kenyataan sekiranya mereka dikritik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2018.

POLIS tidak wajar menahan sesiapa pun hanya kerana seseorang itu mengkritik ahli politik, termasuk perdana menteri sekalipun, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata ahli politik perlu terima kenyataan sekiranya mereka dikritik.

Katanya, sebagai perdana menteri, beliau sudah digelar dengan banyak nama tetapi tidak pernah mengambil tindakan terhadap seseorang kerana berbuat demikian.

“Saya tidak kisah dicela oleh sesiapa, ia tidak akan menjejaskan saya,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Pengurusan Bencana kali keenam di Putrajaya.

“Ada satu kes di Pulau Pinang dan saya beritahu mereka (polis) agar tidak mengambil sebarang tindakan yang seumpamanya,” tambahnya.

Perdana menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai penangkapan adik kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, yang didakwa menghina beliau.

Azman Noor Adam ditangkap polis pada Selasa untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa berkongsi gambar yang menghina Dr Mahathir di media sosial.

Menurut Lokman, adiknya ditahan polis yang datang ke rumah pada pukul 3 pagi.

Azman direman empat hari sehingga Jumaat untuk membantu siasatan.

Tindakan polis menggunakan Akta Hasutan itu turut dikritik banyak pihak termasuk pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan kerana semasa Pilihan Raya Umum ke-14 parti itu berjanji akan memansuhkannya jika menang menjadi kerajaan.

Antaranya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang berpendapat ada undang-undang lain, jika perlu, untuk menangani kes seumpama itu dan bukannya Akta Hasutan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin dalam pada itu mengulangi gesaan kerajaan menggantung sementara semua undang-undang yang sedang dikaji oleh Putrajaya, termasuk Akta Hasutan – pandangan yang juga disokong Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Lim malah menggesa Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun memberikan penjelasan kenapa pihaknya masih menggunakan akta yang dicadang dimansuhkan oleh Pakatan dalam manifestonya.

Kes adik Lokman ini dipercayai bukan yang pertama. Lebih kurang seminggu selepas Pakatan membentuk kerajaan di Putrajaya dan Dr Mahathir menerajui kerajaan sekali lagi, polis menahan seorang lelaki kerana didakwa menghina perdana menteri. – 4 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen