7 ahli Parlimen bekas Umno masuk Bersatu


Chan Kok Leong

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad bersama sebahagian ahli Parlimen bekas Umno yang menerima kad keahlian parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Februari, 2019.

TUJUH ahli Parlimen bekas Umno yang keluar parti tahun lalu hari ini diterima menyertai Bersatu, umum pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

Kemasukan mereka dalam Bersatu hari ini menjadikan parti itu kini mempunyai 22 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mereka yang masuk Bersatu hari ini termasuk bekas menteri dalam Kabinet Najib Razak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu Hamzah Zainuddin (Larut) dan bekas timbalan menteri Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Lima yang lain ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), dan Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah).

Semua mereka hadir pada majlis simbolik penyerahan kad keahlian parti, kecuali Rosol.

Menurut Dr Mahathir, penyertaan mereka dalam Bersatu sudah dikaji dan mereka juga sudah diberi taklimat mengenai tanggungjawab sebagai ahli parti.

“Jadi ahli Bersatu bukan bermakna mencari perlindungan. Kita tidak akan beri perlindungan,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, selepas majlis ringkas penyerahan simbolik kad keahlian itu.

Jelas Dr Mahathir, mereka juga dikenakan syarat sama seperti bekas ahli Umno lain yang menyertai Bersatu iaitu tidak boleh memegang jawatan untuk tempoh tertentu.

“Tetapi dalam pilihan raya kita beri peluang kepada mereka berkempen untuk Bersatu dan Pakatan Harapan,” tambahnya.

Enam ahli Parlimen ini diterima menyertai Bersatu menjelang pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih di Selangor yang akan bermula Sabtu ini, PRK pertama bakal mempertembungkan parti itu dengan Umno sejak PRU14.

“Mereka buat pengakuan junjung perjuangan parti dan akan setia kepada Bersatu dan Pakatan Harapan,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir juga berkata enam ahli Parlimen bekas Umno ini diterima menyertai Bersatu kerana Umno kini merasakan parti itu boleh dihidupkan semula melalui kerjasama dengan PAS.

Kerjasama Umno dan PAS itu semakin hangat diperkatakan selepas kejayaan Barisan Nasional dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dan terus hangat menjelang PRK Semenyih.

Pertengahan Januari lalu, enam ahli Parlimen itu digembar-gemburkan mahu masuk Umno semula, sebulan selepas mereka keluar parti, tetapi sebahagian mereka menafikannya.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan dalam reaksinya ketika itu berkata Umno sedia menerima mereka kembali tetapi pada masa itu tidak menerima apa-apa permohonan daripada mana-mana enam ahli Parlimen berkenaan.

Enam ahli Parlimen itu keluar Umno pada 14 Disember lalu, dua hari selepas tindakan sama beramai-ramai pemimpin Umno di Sabah.

Umno hilang 17 Ahli Parlimen sejak PRU14, menjadikan parti itu kini mempunyai 37 wakil di Dewan Rakyat.

Mas, yang juga bekas ketua Puteri Umno, keluar parti sehari selepas pemilihan Umno dan memohon menyertai Bersatu pada pertengahan Disember lalu.

Bersatu sebelum ini menerima kemasukan Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, pada akhir Oktober lepas, disusuli Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali pada 28 November lepas. 

Noor Azmi adalah ahli Parlimen Umno yang pertama keluar parti pada 24 Jun. β€“ 12 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen