Ahli Parlimen Bagan Serai, 4 senator masuk Bersatu


SM Amin

Dr Noor Azmi Ghazali menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan selepas mengumumkan diri beliau bebas selepas keluar daripada Umno. – Gambar YouTube, 28 November, 2018

AHLI Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali menyertai Bersatu lima bulan selepas keluar Umno, menjadikan parti itu sekarang mempunyai  15 wakil di Dewan Rakyat.

Beliau menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan menerima kad keahlian daripada pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sedia terima mereka kerana kita ini tidak dapat dua pertiga. Dengan itu kadang-kadang berlaku keadaan yang mana kita tersekat, tidak boleh tumpu apa yang kita janjikan.

“Ada beberapa perkara yang kita janjikan yang memerlukan dua pertiga undi. Dengan kemasukan mereka mungkin kita akan dapat angka yang diperlukan,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat parti di Petaling Jaya hari ini.

Antara janji Pakatan Harapan yang belum dipenuhi yang memerlukan pindaan perlembagaan antaranya termasuk memisahkan kuasa pendakwaan daripada Peguam Negara serta had tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal sahaja.

Selain Noor Azmi, empat senator turut menyertai Bersatu iaitu Presiden Majlis Senator Malaysia, Khairudin ES Abd Samad; Bendahari Majlis Senator Malaysia, Suhaimi Abdullah; wakil Orang Asli, Isa Ab Hamid dan wakil masyarakat Siam, Aknan Ehtook.

Bagaimanapun kata Dr. Mahathir, penyertaan mereka ke dalam Bersatu adalah bersyarat.

“Saya mengalu-alukan kemasukan beberapa senator dan ahli parlimen ke dalam PPBM setelah memenuhi syarat-syarat tertentu.

“Kita menerima mereka dengan syarat dalam setahun mereka dijadikan ahli, mereka tidak boleh pegang apa-apa jawatan,” katanya.

Sebelum pengumuman hari ini, gabungan empat parti Pakatan Harapan bersatu mempunyai 117 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, ditambah sembilan ahli Parlimen daripada Parti Warisan Sabah dan empat ahli Parlimen bebas.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi dan 148 kerusi ahli parlimen diperlukan untuk sokongan majoriti dua pertiga. – 28 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen