Utusan tenat sebab tiada lagi duit iklan kerajaan, kata Rais


Zaim Ibrahim

Rais Yatim mengakui semasa menjadi menteri, kementeriannya diarahkan membantu Utusan Melayu Berhad dengan memberli iklan dalam penerbitan syarikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

KUMPULAN Utusan Melayu Berhad ada masalah kewangan sekarang kerana Umno sudah kalah pilihan raya dan kerajaan tidak lagi menyuntik modal membantu syarikat akhbar itu melalui iklan, kata bekas menteri Rais Yatim.

Rais berkata semasa beliau jadi menteri dalam Kabinet Najib Razak, kementeriannya diarahkan membantu Utusan dengan membeli iklan dalam penerbitan syarikat itu.

Rais adalah menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan antara 2009 hingga 2013.

“Tahun 2010, 2011, dan 2012 ketika itu sebagai menteri penerangan, (saya) terpaksa mengeluarkan bantuan menerusi pengiklanan kepada Utusan. Usaha seperti itu tidak seharusnya berlaku tetapi kerajaan arahkan saya bertindak sedemikian,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, pembelian iklan itu memberikan modal lebih kurang RM12 juta setahun kepada Utusan.

Jumaat lepas, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan mendedahkan mereka diberitahu oleh pihak pengurusan bahawa syarikat tidak cukup duit untuk membayar gaji mereka.

Menurut Rais, selain bergantung dengan iklan daripada kerajaan, beliau percaya pengurusan syarikat itu tidak melaksanakan langkah-langkah perlu untuk membaiki keadaan kewangannya.

“Saya dengar khabar sejak 10 tahun lalu (Utusan) sudah mula rugi. Namun, tidak ada langkah interim atau sementara untuk memperbaikinya. Inilah persoalannya,” jelas beliau.

Utusan menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011, dengan kerugian terkumpulnya setakat ini berjumlah RM71.4 juta setakat Mac lepas. Kerugian itu juga menjadi alasan bagi syarikat untuk tidak menaikkan gaji kakitangan di bawah NUJ sejak 2014.

Rais berharap Umno sebagai pemegang saham terbesar syarikat itu akan membuat penilaian objektif tentang strategi perniagaan dan pelaksanaannya.

Utusan Melayu Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September, 2018.

“Jika (Utusan) gulung tikar serta merta, ia bukan sahaja menggelapkan nama Umno tetapi juga menjejaskan imej urus niaga syarikat milik Bumiputera, orang Melayu,” katanya.

Rais juga berharap Utusan akan membebaskan pemberitaannya daripada terus terhimpit dengan agenda politik dan hanya melaporkan berita daripada sebelah pihak, sesuatu yang menyebabkan ia berdepan dengan pelbagai masalah.

Umno memegang 49.77% saham dalam Kumpulan Utusan Melayu Berhad manakala syarikat Nilam Setar (M) Sdn Bhd kepunyaan Syed Mokhtar Al-Bukhari jadi pemegang saham terbesar kedua dengan 14.76%.

Kenyataan Rais itu senada dengan bekas ketua pengarang kumpulannya, Zainuddin Maidin yang menggesa Utusan membebaskan diri daripada ideologi Umno sebaliknya menjadi suara yang mewakili rakyat Malaysia.

“Ia mesti dijalankan oleh orang profesional yang lebih pentingkan perniagaan daripada ideologi politik,” katanya.

Kelmarin, The Malaysian Insight melaporkan wartawan dan jurugambar Utusan sedia mengadakan piket selepas pihak pengurusan mengesahkan syarikat sudah tidak cukup dana untuk membayar gaji mereka.

Syarikat itu juga tidak mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi kepada kakitangan untuk menjelaskan keadaan terkini kewangan syarikat apabila gaji dua kali terlewat dibayar, untuk kakitangan eksekutif pada Ogos dan bukan eksekutif pada September.

Menurut sumber dalaman, kakitangan Utusan kini sudah tidak lagi bersemangat untuk bekerja, tetapi mereka tidak pula mahu berhenti kerana sebelum ini dimaklumkan oleh syarikat akan menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS).

Utusan bagaimanapun kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – 19 September, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dalam perkara ini pengurusan Utusan yang harus bertanggong jawab. Jika dari 2010 isu kewangan ini sudah timbul kenapa tiada usaha usaha gigih di buat ketika itu. Ini la yang dikatakan ambil senang melalui jalan mudah, kerajaan ada tak cukup mereka boleh top up, buat seketika boleh la tapi perasaan malu sudah tiada lagi jadi apa yang nak di risaukan sebab kerajaan perlu Utusan untuk sampaikan massage mereka. Pihak pengurusan seharus nya peka untuk mereka boleh berdiri tampa sokongan kerajaan berapa banyak yang di perlukan sebagai satu objective mereka. Disebabkan banyak sangat makan senang dangan duit kerajaan iaitu wang RAKYAT ini la padah nya. Yang sedih dan kesian ada la kaki tangan bawahan yang terkepit.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Teruna Kelana · Ulasan