POLIS menyelamatkan 402 kanak-kanak bawah umur yang sebahagian daripada mereka dipercayai dieksploitasi dan didera termasuk secara seksual dalam satu operasi besar-besarn di dua negeri hari ini yang dinamakan Op Global, lapor New Straits Times.
Jumlah tersebut terdiri daripada 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan yang berasal dari 18 rumah kebajikan di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata semua mangsa adalah rakyat tempatan dan diselamatkan antara jam 6 pagi dan 11 pagi.
“Mereka berusia antara satu hingga 17 tahun dan berdepan pelbagai bentuk penderaan termasuk diliwat,” katanya.
Beliau berkata seramai 171 individu berumur antara 17 hingga 64 tahun termasuk penjaga, ustaz (guru agama) dan pengerusi premis ditahan dalam serbuan serentak di rumah kebajikan di kedua-dua negeri tersebut.
“Semua mangsa yang diselamatkan akan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibawa ke Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Pahang hari ini.
Siasatan awal mendapati mangsa bukan sahaja diliwat oleh penjaga tetapi juga diajar untuk melakukan tindakan serupa terhadap kanak-kanak lain di rumah tersebut, kata Razarudin.
Beliau berkata mangsa juga berdepan hukuman menggunakan objek logam panas dan sentuhan yang tidak sesuai dengan alasan rawatan perubatan agama.
“Mereka dihukum dengan menggunakan objek logam panas apabila mereka melakukan kesalahan dan suspek menyentuh bahagian badan mangsa dengan mendakwa ia adalah sebahagian daripada rawatan perubatan agama,” katanya.
Razarudin berkata suspek sedang disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Anti-Penyeludupan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007. – 11 September 2024.
Komen