POLIS akan meneruskan perkhidmatan seperti biasa walaupun balai polis di negara ini telah diarahkan menutup pintu selepas jam 10 malam, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan dan laporan seperti biasa, dan arahan kepada semua balai polis akan dilaksanakan selepas prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dibentangkan kepada Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Azmi Kassim
“Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, kita harus mengimbangi peranan balai sebagai tempat orang ramai membuat laporan dan pada masa sama balai juga menjadi sasaran ancaman, jadi kita mengimbangi kedua-dua keperluan,” beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan Bernama.
Beliau memberitahu agensi berita itu pelaksanaan penutupan jam 10 malam pada masa ini melibatkan balai polis di kawasan terpencil atau luar bandar.
Semalam, Saifuddin Nasution memberitahu Parlimen, semua balai polis di seluruh negara akan ditutup mulai 10 malam sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan yang lebih kukuh.
Menurutnya ini berikutan insiden balai polis Ulu Tiram di Johor pada Mei di mana dua anggota polis terbunuh.
“Kita perlu mengimbangi keperluan rakyat dan juga keselamatan anggota polis kita,” katanya semasa Sesi Soal Jawab Menteri.
Beliau berkata polis juga telah diarahkan untuk meneliti semula dan mengetatkan prosedur operasi standard mereka di semua balai termasuk kekerapan rondaan.
“Dari segi situasi logistik di setiap balai sama ada lampu, pagar dan sebagainya, kita keluarkan arahan untuk memberi maklumat segera dan ia akan melalui proses untuk kita perbaiki,” katanya.
Dalam serangan balai polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut.
Seorang lagi pegawai polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera akibat dua tembakan di bahu dan pinggul. – 10 Julai, 2024.
Komen