Bukit Aman akan panggil pegawai kendali laporan kes serang OKU, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kesemua mereka yang terlibat dalam siasatan awal akan direkodkan keterangan mereka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2024.

BUKIT Aman akan memanggil semua pegawai yang terlibat dalam menyiasat kes seorang lelaki kelainan upaya yang didakwa diserang oleh anggota pasukan pengiring keselamatan polis bagi memastikan siasatan menyeluruh,” kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata kesemua mereka yang terlibat dalam siasatan awal akan direkodkan keterangan mereka.

“Keutamaan setiap siasatan adalah untuk memastikan pelaku bertanggungjawab atas tindakan mereka.

“Dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah,” kata Razarudin dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa sebelum ini berkata siasatan berhubung dakwaan serangan itu masih diteruskan walaupun laporan awal bahawa kes itu “selesai” selepas mangsa didakwa menerima RM800 daripada wakil penyerang.

Rusdi dilaporkan berkata pihak berkuasa untuk “menyelesaikan” atau menutup kes sedemikian bukan terletak pada pihak polis.

“Ia bukan dalam kuasa kami (untuk menutup kes), kami perlu merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya terlebih dahulu,” katanya.

Siasatan ke atas dakwaan serangan itu akan mengikut proses yang sewajarnya, katanya, dengan penemuan akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Orang Pekak Malaysia (Dawn) dalam satu kenyataan semalam berkata, amat membimbangkan mangsa didakwa didesak untuk menyelesaikan kes itu dengan bayaran RM800.

Dawn juga mendakwa pemandu OKU itu diberi dua pilihan, sama ada meneruskan kes ke mahkamah atau menggugurkan kes itu dan diberi pampasan.

Menurut Dawn, mangsa dimaklumkan jika memilih pilihan pertama, telefonnya akan dirampas. 

“Di bawah tekanan, mangsa Pekak menggugurkan kes dan bersetuju untuk diberi pampasan,” dakwanya.

“Atas alasan apakah telefon bimbit mangsa disimpan untuk siasatan polis?” soal Dawn.

Mangsa telah membuat laporan polis selepas dia mendakwa dia diserang di pintu masuk hotel ketika konvoi VIP sedang beredar.

Walaupun pihak berkuasa tidak menamakan individu terbabit, dipercayai pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah orang yang didakwa menyerang pemandu di hadapan hotel itu.

Tunku Ismail mengecam cubaan untuk mengaitkan institusi diraja dengan dakwaan serangan itu, berkata beliau tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.

“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa.

“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” katanya di aplikasi X. – 31 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen