Tidak perlu jadi penyokong setia untuk daftar parti, kata Ramasamy


P Ramasamy kecam berkata pendaftaran Urimai sebagai parti politik tidak seharusnya ditolak atas alasan ia menentang kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2024.

PENDAFTARAN Urimai sebagai parti politik tidak seharusnya ditolak atas alasan ia menentang kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan, kata pengerusi parti itu P. Ramasamy.

“Hanya kerana kita menentang kerajaan yang berkuasa, Urimai masih berhak mendapat hak kebebasan berpersatuan yang demokratik dan berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah parti itu merayu kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasutio, terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang menolak permohonannya pada Julai.

“Jika Saifuddin menolak rayuan Urimai untuk pendaftaran, maka kita tahu apa yang perlu dilakukan. Urimai tidak perlu menjadi anjing suruhan kerajaan untuk berjaya didaftarkan,” katanya.

Susulan keputusan RoS itu, Ramasamy kemudian menuduh kerajaan menolak permohonan parti itu kerana tidak menyokong kerajaan gabungan pimpinan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap.

Urimai ditubuhkan pada November tahun lalu oleh Ramasamy dan beberapa individu lain selepas mereka keluar dari DAP.

Ramasamy juga mengecam Saifuddin kerana meremehkan Urimai dalam satu majlis awam baru-baru ini di Padang Serai, Kedah dengan mempersoalkan bagaimana parti itu boleh menangani masalah yang dihadapi oleh komuniti India jika ia belum didaftarkan atau diwakili dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

“Saifuddin tidak seharusnya menyalahkan Urimai kerana bersuara mengenai hak komuniti India yang terabai.

“Jika kerajaan PH terus meminggirkan masyarakat India di negara ini, maka adalah tanggungjawab dan kewajipan Urimai untuk bersuara tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Jika Saifuddin bercakap mengenai Urimai, bukankah itu tanggungjawabnya untuk memastikan parti ini didaftarkan. Kami masih berhak kepada hak kebebasan berpersatuan yang demokratik dan berperlembagaan,” kata bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu. – 13 Ogos, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen