DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur dan pemaju mesti mencari alternatif lain untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di pembangunan kediaman baharu mereka dan bukannya mengalihkan sebahagian sekolah Tamil di Kinrara, kata P Ramasamy.
Ramasamy yang mengetuai parti baharu Urimai berkata dalam zaman kejuruteraan awam yang mengagumkan, pemaju sentiasa boleh memikirkan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui pelbagai cara.
“Membuang bahagian SJK (T) Ladang Kinrara di Puchong boleh dielakkan,” kata bekas pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.
Sekolah itu terlibat dalam pertikaian melibatkan beberapa bangunannya selepas didedahkan bahawa DBKL dan Fajarbaru Land Sdn Bhd menuntut pihak sekolah menyerahkan 3,000 kaki persegi kawasan sekolah untuk pelebaraan Jalan Mas dengan pampasan sebanyak RM50,000.
Pembesaran jalan itu bermakna beberapa bangunan sekolah, termasuk tadika dan kantin, perlu dirobohkan, sekali gus menjejaskan 700 pelajar yang mendaftar di sekolah itu.
Sekolah itu bagaimapun dilaporkan enggan menyerahkan sebahagian daripada tanahnya melainkan ia diberi pampasan yang sewajarnya. Ia juga mendakwa bahawa ia tidak dimaklumkan lebih awal mengenai permintaan pemaju yang datang melalui surat pada 4 Mac tanpa sebarang pemberitahuan terlebih dahulu.
Fajarbaru Land telah membangunkan 1,604 unit pangsapuri Residensi Wilayah di Lot 101895, Jalan Mas, daerah Petaling, Kuala Lumpur yang bersebelahan dengan sekolah yang terletak terutamanya di Selangor.
Laporan penilaian kesan trafik yang dikemukakan oleh perunding projek itu mencadangkan supaya Jalan Mas dinaik taraf kepada empat lorong berikutan jangkaan peningkatan jumlah trafik sebaik sahaja pangsapuri itu dibina.
DBKL berkata, cadangan menaik taraf Jalan Mas akan melibatkan perobohan beberapa struktur yang dibina di atas rizab jalan, antaranya sebuah kuil dan beberapa bangunan milik sekolah itu.
Ramasamy juga mempersoalkan mengapa kerajaan Selangor berdiam diri dalam isu itu, serta mempersoalkan sama ada ia bersetuju dengan tuntutan penempatan semula.
“Masih belum terlambat untuk menghentikan perpindahan. Sekolah harus dikekalkan.
“Adakah pihak berkuasa berpendapat kerana ia sekolah Tamil, mereka bebas untuk mengenakan syarat penempatan semula. Adakah ini tindakan membuli masyarakat India yang tidak berkuasa?” katanya.
Awal minggu ini, DBKL berkata Pejabat Tanah dan Galian serta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ) telah diarah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk memindahkan sebahagian sekolah itu.
Dewan Bandaraya berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat pada 7 Jun, yang dipengerusikan oleh menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan dihadiri Ahli Parlimen Batu Prabakaran, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Adun Kinrara Ng Sze Han, dan wakil SJK (T) Ladang Kinrara, kuil Hindu, agensi kerajaan, dan jabatan berkaitan di DBKL.– 23 Jun, 2024.
Komen