Ramasamy sudah bayar RM1.52 juta kepada Zakir Naik, kata peguam


Pada 2 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati P Ramasamy bersalah memfitnah Dr Zakir Naik dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM1.45 juta dan kos RM70,000 kepada plaintif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2023.

BEKAS timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy sudah membayar pendakwah Islam, Zakir Naik ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah.

Peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader mengesahkan menerima bayaran daripada Ramasamy, berkata transaksi itu dilakukan pada 17 November.

“Wang dibayar pada 17 November,” kata Akberdin kepada media hari ini, sambil menambah dana itu kini disimpan dalam akaun pelanggan yang diuruskan oleh firma guaman yang bertindak bagi pihak Zakir.

Peguam kanan itu juga berkata RM1.52 juta itu boleh dipindahkan kepada plaintif Zakir jika Mahkamah Rayuan kemudiannya menolak rayuan Ramasamy terhadap keputusan fitnah itu.

Pada 2 November, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ramasamy bersalah memfitnah pendakwah itu dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi RM1.45 juta dan kos RM70,000 kepada plaintif.

Jumlah tersebut terdiri daripada RM1 juta ganti rugi am, RM100,000 pampasan, RM100,000 bagi ganti rugi teruk, dan RM250,000 sebagai ganti rugi teladan.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz turut memerintahkan Ramasamy membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Zakir.

Ramasamy kemudiannya memfailkan rayuan di mahkamah rayuan terhadap kesemua keputusan fitnah itu.

Beliau kemudian melancarkan kempen kutipan dana untuk membayar Zakir dan berjaya mengumpul jumlah diperlukan.

Awal hari ini, semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan Hayatul, peguam bela Ramasamy Razlan Hadri memaklumkan kepada mahkamah yang anak guamnya menarik balik permohonan untuk menangguhkan keputusan permohonan maaf itu, sementara menunggu rayuan itu diselesaikan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa penarikan balik itu dibuat tanpa perintah berhubung kos,” kata Razlan.

Akberdin kemudian mengesahkan dengan mahkamah mengenai perkara itu. Bagaimanapun, terma penarikan itu tidak didedahkan.

Pada 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan terhadap Ramasamy berhubung kenyataan awam: satu dikaitkan dengan ceramah kontroversi pendakwah di Kota Baru, Kelantan, pada 8 Ogos 2019, dan satu lagi mengenai kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).  – 1 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen