Hampir RM500,000 dikutip solidariti bersama Ramasamy


Ravin Palanisamy

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan P Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kepada Dr Zakir Naik kerana memfitnah pendakwah Islam kontroversi itu antara 2017 dan 2019. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 November, 2023.

KETIKA hampir setengah juta ringgit berjaya dikutip dalam tempoh dua hari, pasukan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berharap dapat mengumpul RM1.52 juta melalui kempen pembiayaan orang ramai dalam tempoh 10 hari, kata Satees Muniandy.

“Kami tidak menetapkan sasaran khusus bila kami boleh mengumpul tetapi kami berharap ia dapat dilakukan dalam tempoh 10 hari,” kata bekas Adun Bagan Dalam itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau optimis dapat mencapai sasaran itu berikutan sambutan positif daripada orang ramai.

Setakat jam 11 pagi pada 4 November, sebanyak RM454,781.78 sudah dikumpul dalam kempen pembiayaan orang ramai solidariti bersama Ramasamy.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kepada Dr Zakir Naik kerana memfitnah pendakwah Islam kontroversi itu antara 2017 dan 2019.

Wang itu perlu dibayar dalam tempoh 30 hari, dengan faedah lima%, mulai Khamis.

Walaupun defendan berhasrat untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapatkan perintah penangguhan, wang itu mesti disediakan bagi mengelakkan faedah dikenakan.

Selain sumbangan orang ramai, Satees berkata beberapa pemilik perniagaan turut tampil membantu kempen mengumpul dana itu.

“Antaranya restoran terkenal Seni Sattisorru, yang secara terbuka menyatakan hasrat mereka untuk menyumbangkan pendapatan jualan sehari mereka kepada Ramasamy.

“Ada juga yang lain tetapi mereka mungkin tidak mahukan publisiti,” katanya.

Selain denda itu, Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz juga memerintahkan Ramasamy membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi peguam bela Razlan Hadri Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah mereka akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan keperluan defendan memohon maaf kepada Zakir, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – 4 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen