Ramasamy kesal cara DAP gugur penyandang kerusi 


ADUN Perai tiga penggal P Ramasamy berkata partinya DAP boleh mengendalikan keputusan menggugurkan beliau daripada bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos dengan cara lebih terhormat dan bermaruah.

“Saya lebih suka DAP, terutama pemimpin pusat, memaklumkan kepada saya dan lain yang kami akan digugurkan selaras dengan dasar peremajaan parti. Ia boleh menjadi jalan keluar yang bermaruah.

“Kenapa perlu menunggu untuk memaklumkan kepada kami selepas keputusan dibuat? Adakah kami orang asing dalam parti? Bukankah kami sudah menyumbang kepada parti?” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu juga mengulangi beliau tidak menentang DAP kerana menggugurkannya, dengan berkata menerima keputusan itu, “jika ia demi kepentingan parti”.

“Setelah menjadi ahli DAP selama 18 tahun, ahli majlis eksekutif pusat (CEC) selama beberapa tahun, kini timbalan pengerusi DAP Pulau Pinang dan timbalan ketua menteri 2 tiga penggal, saya mahukan sedikit penghormatan dan maruah.

“Saya menerima hujah berhubung proses meremajakan parti, mekanisme seperti itu nampaknya penting dalam proses pembaharuan dalam hampir semua parti politik.

“Tetapi malangnya, hujah yang memihak kepada peremajaan tidak kuat memandangkan ada pemimpin senior dan muda turut digugurkan,” katanya.

DAP Pulau Pinang menamakan tujuh muka baharu untuk diturunkan pada PRN akan datang.

Ini bermakna lima anggota exco kerajaan negeri DAP digugurkan - Ramasamy, Ketua Wanita DAP Chong Eng, Phee Boon Poh, Yeoh Soon Hin dan Soon Lip Chee.

Turut digugurkan ialah bekas Adun Bagan Dalam M Satees dan bekas Adun Pulau Tikus Chris Lee Chun Kit. Lee dikatakan atas sebab kesihatan.

Ramasamy berkata walaupun beliau memahami parti mahu meremajakan semula pemimpin negeri, beliau mempersoalkan rasional menggugurkan pemimpin berusia lewat 30-an dan pertengahan 40-an.

“Maaf, alasan yang dikemukakan untuk penyingkiran penyandang tidak dapat dibuktikan,” kata bekas ahli akademik berusia 74 tahun itu.

Beliau menyalahkan politik dalaman DAP Pulau Pinang atas kegagalan itu, dengan berkata mereka yang digugurkan dikatakan sejajar dengan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

“Seperti yang kita sedia maklum, terdapat langkah untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri seterusnya. Beberapa nama dicadangkan tetapi ditarik balik kerana bangkangan yang kuat di Pulau Pinang.

“Parti tiada pilihan selain mencadangkan nama Chow sebagai ketua menteri seterusnya.

“Walaupun Chow tidak disingkirkan, mereka yang dilihat sehaluan dengannya terpaksa dikorbankan bagi memberi laluan kepada puak lain menguasai barisan pemain.

“Kita sedia maklum siapa atau individu di sebalik kempen anti-Chow di Pulau Pinang,” katanya tanpa menamakan sesiapa. – 28 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen