Ramasamy keluar DAP


P Ramasamy mengumumkan keputusannya keluar daripada DAP semasa sidang media di Pulau Pinang, hari ini. – Gambar Facebook, 10 Ogos, 2023.

KEMELUT politik dalaman DAP Pulau Pinang memasuki episod baharu hari ini apabila Timbalan Pengerusi DAP negeri itu Dr P Ramasamy mengumumkan keluar parti setelah berkhidmat selama 18 tahun dalam parti sejak 2005.

Bekas timbalan ketua menteri II dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi itu berkata beliau menghantar surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung parti Anthony Loke dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pagi ini.

“Saya ambil keputusan ini selepas berunding secara mendalam dengan ahli keluarga dan rakan-rakan tertentu. Keputusan untuk meninggalkan DAP adalah satu yang sukar.

“Saya akan terus berjuang. Saya akan terus bersuara untuk golongan masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya pada sidang media di Pejabat Khidmat Adun Perai di Butterworth, hari ini.

Ramasamy yang juga dikenali sebagai individu yang lantang bersuara dalam arena politik tanah air itu, menegaskan akan terus menyokong gabungan politik Pakatan Harapan (PH) secara amnya dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Chow.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada calon Bebas Bagan Dalam Satees Muniandy dan calon Perai David Marshel yang juga keluar parti dan bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Ramasamy turut menyangkal dakwaan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN).

Turut mengumumkan keluar parti hari ini adalah bekas Adun Sabai (Pahang) Kamache Doray Rajoo; Naib Ketua Pemuda Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (Dapsy) Jason Raj dan ahli cawangan Taman Inderwasih K. Krishnasamy.

Ramasamy yang merupakan bekas Adun Perai selama tiga penggal itu antara yang digugurkan sebagai calon pada PRN kali ini selain Exco Alam Sekitar dan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Chong Eng; Exco Belia dan Sukan Soon Lip Chee, Exco Pelancongan dan Industri Kreatif Yeoh Soon Hin. – Bernama, 10 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen