PKR tak perlu sembang pasal reformasi, kata Ramasamy


Bekas pemimpin DAP P Ramasamy berkata PKR gagal melaksanakan agenda reformasi sedangkan ia sudah berada dalam kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2024.

PKR jangan ‘sembang’ lebih tentang reformasi kerana parti itu gagal melaksanakan perubahan yang dijanjikan sedangkan ia sudah berada dalam kerajaan, kata bekas pemimpin DAP P Ramasamy.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga katanya tidak perlu bercakap mengenai sejarah kegagalan gerakan reformasi di seluruh dunia sambil menggesa ahli parti itu supaya mengambil iktibar.

Sebaliknya, tambah bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu, Saifuddin patut membuat penilaian mengapa agenda reformasi PKR gagal dilaksanakan.

“Walaupun tidak salah Saifuddin bercakap mengenai sejarah gerakan reformasi, beliau seharusnya selidik mengapa reformasi yang dibawa oleh PKR ketika jadi pembangkang menemui kegagalan.

“Apabila berkuasa, asas tadbir urus telah dilupakan. Saya fikir Saifuddin perlu adakan perbincangan dalaman dengan pemimpin-pemimpin PKR mengapa mereka gagal mempelopori reformasi selepas berkuasa,” kata Ramasamy menerusi catatan di Facebook hari ini.

Beliau seterusnya menyelar PKR kerana gagal memenuhi prinsip asas reformasi di negara ini.

Selain itu, Ramasamy mempersoalkan mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR membisu mengenai keperluan melaksanakan reformasi.

“Kerajaan beliau tiada bezanya dengan kerajaan terdahulu yang meraih sokongan atas dasar kaum dan agama.

“Jika gabungan politik sekarang ini yang diketuai Anwar meneruskan perintah hegemoni Melayu, jadi mana reformasinya?”

Tambah beliau, politik bukan tentang melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan semasa Pakatan Harapan jadi pembangkang tetapi bagaimana gabungan itu harus kekal berkuasa.

“Saifuddin tak perlu ‘sembang’ tentang reformasi sedangkan tiada pun reformasi dalam negara ini.

“Anwar, seluruh kepimpinan PKR dan DAP begitu mengecewakan rakyat Malaysia yang mendambakan pembaharuan,” kata Ramasamy.

Beliau mengulas ucapan Saifuddin semasa konvensyen khas ulang tahun ke-25 PKR yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

Saifuddin berkata kekuatan atau kejayaan PKR dalam usaha reformasi tidak boleh diukur melalui berapa ramai wakil rakyat atau menteri daripada parti itu tetapi menerusi dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kejayaan reformasi, sama ada di mata kita atau di mata rakyat, akan diukur dengan kejayaan kita menterjemahkannya untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia bukan melalui berapa ramai menteri, atau menteri besar, exco, ahli parlimen atau ahli dewan undangan negeri (Adun).

“Itu bukan ukuran kejayaan kita,” kata Saifuddin. – 21 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen