Nilai kejayaan PKR menerusi dasar, kata Saifuddin


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata kejayaan parti juga perlu dicerminkan dalam program untuk manfaat rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2024.

SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata kejayaan parti itu bukan untuk dilihat pada kekuatannya dalam bilangan wakil rakyat tetapi lebih kepada bagaimana ia menerjemahkan perjuangan reformasi kepada dasar kerajaan.

Berucap pada konvensyen PKR sempena sambutan ulang tahun ke-25 parti itu di Shah Alam, Saifuddin berkata kejayaan juga perlu dicerminkan dalam program untuk manfaat rakyat.

“Pencapaian dan kejayaan parti tidak dinilai berdasarkan bilangan menteri, menteri besar, Exco kerajaan negeri, ahli Parlimen dan Adun daripada PKR.

“Ini bukan cara kita menilai prestasi parti.

“Cara sebenar untuk menilai prestasi kami ialah bagaimana kami memahami dan menerjemahkan perjuangan ‘Reformasi’ kami kepada dasar (kerajaan) yang akan memberi manfaat kepada rakyat,” kata menteri dalam negeri itu seperti dilaporkan News Straits Times.

PKR sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan pertama kali mendapat kuasa persekutuan selepas pilihan raya umum 2018 tetapi kerajaan digulingkan dalam tempoh 22 bulan.

Ia sekali lagi membentuk kerajaan persekutuan dengan sokongan Umno/Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2022 dengan presiden parti Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

PKR ditubuhkan berikutan pemecatan Anwar daripada kerajaan BN pada 1998 dan berhimpun atas laungan reformasinya untuk membentuk kerajaan yang lebih baik.

Sementara itu Saifuddin juga berkata isu yang menjejaskan kepimpinan parti di Sabah mesti diselesaikan segera.

“Saya tabik kepada Sabah (PKR). Bagaimanapun beberapa hari kebelakangan ini terdapat sedikit pergolakan yang menjejaskan parti.

“Saya harap akan ada penyelesaian segera untuk ‘pergolakan’ ini. Tolong jangan berpanjangan,” katanya.

Seramai 15 daripada 26 ketua bahagian parti menentang pengerusi negeri Sangkar Rasam dan mahu beliau diganti.

Sangkar bagaimanapun menegaskan keputusan mengenai jawatannya adalah hak prerogatif Anwar.

Ketika Anwar berada di Kota Kinabalu semalam beliau berkata kepimpinan tertinggi PKR akan memutuskan siapa yang akan memimpin bahagian Sabahnya tidak lama lagi.

Tambahnya lebih 10 nama dikemukakan untuk jawatan tertinggi parti di negeri ini. – 21 April, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen