P RAMASAMY mengkritik PAS kerana tidak memahami dengan jelas berkenaan isu pembiayaan sekolah-sekolah vernakular.
Beliau menekankan isu bukanlah tentang pembiayaan yang diberikan oleh kilang arak kepada sekolah-sekolah ini tetapi mengenai bagaimana sekolah-sekolah ini diperlakukan oleh kerajaan yang berkuasa.
“Saya fikir PAS dengan aspirasi kebangsaan sedang cuba mendapatkan sokongan dari bukan Melayu. Namun, kritikan PAS terhadap pembiayaan oleh kilang arak kepada sekolah Cina di Sepang menimbulkan keraguan sama ada pemimpin mereka benar-benar memahami isu-isu asas,” kata pemimpin Urimai itu.
Ramasamy turut mencadangkan pemimpin PAS memberi tumpuan untuk mempersoalkan pengagihan dana yang tidak adil oleh kerajaan kepada sekolah-sekolah vernacular dan bukannya mengkritik sumber pembiayaan luar.
Beliau menambah pendirian pemimpin PAS dalam isu ini menimbulkan persoalan sama ada mereka bersedia menerima hak orang bukan Melayu di negara ini.
Malah katanya kepimpinan tertinggi PAS perlu menghentikan pemimpin parti yang terlibat dalam politik murahan jika mereka serius untuk mendapatkan sokongan daripada orang bukan Melayu.
Bekas pemimpin DAP itu berkata jika kerajaan persekutuan menyediakan pembiayaan yang mencukupi untuk sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil, tidak ada keperluan bagi sekolah untuk bergantung kepada kilang arak dan syarikat tembakau untuk pembiayaan.
Pembiayaan sebuah kilang arak untuk acara amal sebuah sekolah Cina baru-baru ini menjadi isu perdebatan tentang sama ada sekolah sepatutnya menerima sumbangan dari hasil jualan alkohol, rokok, dan perjudian.
PAS adalah antara pengkritik tegar dalam hal ini dengan mengatakan kilang arak tidak sepatutnya membiayai mana-mana sekolah kerana ia “menghalalkan penggunaan alkohol”. – 24 Julai, 2024.
Berita penuh di sini.
Komen