SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengenal pasti dan meminta beberapa platform media sosial untuk menghapuskan maklumat siasatan yang dikatakan bocor mengenai kes Zayn Rayyan Abdul Matiin.
Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM berkata ia telah mengemukakan permohonan kepada pengendali media sosial, termasuk TikTok dan Telegram untuk mengalih keluar kandungan tersebut.
“Berkongsi atau menyebarkan maklumat siasatan yang didakwa mengenai kes itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu perbicaraan.
“SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih atau palsu,” katanya sambil menambah ini mungkin merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pesalah boleh didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali, dengan tambahan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Suruhanjaya itu menasihatkan pengguna media sosial untuk memadamkan siaran atau komen yang boleh mencetuskan spekulasi berhubung kes itu.
Terdahulu hari ini, Unit Siasatan Jenayah Terkelas persekutuan sedang menyiasat dakwaan kebocoran maklumat dalam siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.
Ini selepas polis menerima dua laporan, satu daripada keluarga mangsa dan satu lagi daripada pegawai penyiasat kes.
Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Laporan polis itu susulan kebocoran maklumat yang dikatakan butiran siasatan polis oleh laman pemberi maklumat “Edisi Siasat” di Telegram, kurang 24 jam selepas ibu bapa Zayn Rayyan mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuai yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal kepada anak mereka.
Kumpulan Telegram telah memuat naik apa yang didakwanya sebagai kenyataan yang diambil oleh penyiasat daripada kedua-dua ibu bapa.
Ibu bapa Zayn mengaku tidak bersalah terhadap pengabaian kanak-kanak di mahkamah sesyen Petaling Jaya pada Khamis selepas disiasat atas tuduhan membunuh.
Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya 29, mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.
Zayn Rayyan, seorang kanak-kanak autisme berusia enam tahun dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lepas. Mayatnya ditemui sehari kemudian, kira-kira 200m dari pangsapuri tempat tinggal keluarga itu.
Ibu bapanya telah ditangkap pada 31 Mei, dan direman selama seminggu. – 15 Jun 2024.
Komen