Ibu bapa Zayn Rayyan dituduh abai anak 


Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin diiringi anggota polis selepas prosiding kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Jun, 2024.

IBU bapa kanak-kanak lelaki autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan mengabaikan anak lelaki mereka berusia enam tahun yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal tahun lepas.

Pasangan itu, yang sebelum itu dibawa masuk ke bilik mahkamah di bawah kawalan ketat polis di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, kedua-duanya berusia 29 tahun berkata mereka memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu. 

Pertuduhan dibuat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Ibu bapanya telah ditangkap pada 31 Mei, manakala polis turut menahan datuk dan nenek Zayn Rayyan semalam.

Menurut Ketua Polis Selangor Hussein Omar, datuk dan neneknya ditahan bagi membantu siasatan. 

6 Disember lalu, mayat Zayn, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam sungai berhampiran rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya. Dia dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh selepas bedah siasat menemui kesan kecederaan kerana mempertahankan diri di badannya. – 13 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen