Slovakia akan sekat usaha Ukraine sertai NATO


Fico bertegas akan menggunakan kuasa veto menyekat kenaggotaan Ukraine dalam NATO. – Gambar EPA, 21 Januari, 2024.

Perdana Menteri Slovakia Robert Fico akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Ukraine Denys Shmyhal bagi memaklumkan mengenai hasrat negara itu untuk menyekat keanggotaan Ukraine dalam NATO.

Fico berkata pertemuan itu akan diadakan di bandar Uzhhorod di barat Ukraine pada 24 Januari ini, lapor Sputnik.

“Mengenai kemasukan mereka (Ukraine) ke Kesatuan Eropah, kami menghormati itu, tetapi mereka mesti memenuhi syarat. Saya akan mengatakan saya menentang keanggotaan Ukraine dalam NATO, saya akan menggunakan kuasa veto dan menyekatnya kerana ia akan menjadi asas Perang Dunia Ketiga,” kata Fico kepada penyiar RTVS pada Sabtu.

Beliau juga mengulangi pendirian kerajaan untuk tidak menyediakan senjata kepada Ukraine. Pada masa sama beliau menyatakan Bratislava tidak menolak untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada Kyiv.

Fico berkata Ukraine berada di bawah ‘kawalan dan pengaruh penuh Amerika Syarikat (AS)’ sejak peristiwa 2014 dan Kesatuan Eropah membuat kesilapan besar dengan mengikuti pendapat AS mengenai konflik Ukraine daripada membentuk pendapat sendiri. – Bernama, 21 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen