IMF lulus suntikan tunai tambahan AS$900 juta untuk Ukraine


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata sokongan IMF amat penting untuk Ukraine dan rakyat negara itu. – Gambar EPA, 12 Disember, 2023.

TABUNG Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam memberikan suntikan tunai tambahan kepada Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lembaga eksekutif IMF telah menyelesaikan semakan kedua program pinjamannya untuk Ukraine membolehkan Kiev mengakses kira-kira AS$900 juta.

Wang itu akan digunakan untuk menyokong bajet, katanya.

Pengaturan di bawah Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) bertujuan menyokong kestabilan ekonomi dan kewangan Ukraine, memulihkan kemampanan hutang dan menyokong pemulihan Ukraine.

Negara itu akan diberi akses kepada AS$15.6 bilion melalui dana itu. Program itu adalah sebahagian daripada pakej bantuan antarabangsa berjumlah kira-kira AS$115 bilion dan bertempoh empat tahun.

“Program ini sangat penting untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan serta menyokong pemulihan yang berterusan,” kata ketua IMF Kristalina Georgieva selepas pertemuan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Washington.

Zelensky berkata sokongan IMF amat penting untuk Ukraine dan rakyat negara itu.

“Pada masa perang sistem kewangan yang selamat adalah penting,” katanya.

Zelensky semalam juga bertemu Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin semasa lawatan ketiganya ke Washington sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula pada Februari 2022. – Bernama, 12 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen