Ukraine mungkin boikot Olimpik Paris 2024


Logo rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menampilkan Marianne, personifikasi kebebasan dan Republik Perancis sejak revolusi pada tahun 1789. – Gambar EPA, 10 Disember 2023.

UKRAINE mungkin tidak akan menyertai Sukan Olimpik Paris 2024 melainkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengubah pendiriannya, lapor agensi berita Sputnik memetik pemangku Menteri Belia dan Sukan Matviy Bidnyi pada Ahad.

IOC pada Jumaat membenarkan penyertaan atlet Russia dan Belarus ke Sukan Olimpik Paris dengan status berkecuali jika beberapa kriteria dipenuhi.

“Kami akan mengkaji perkara itu, jika dengan mengambil bahagian dalam pertandingan sedemikian dapat mempromosikan kedudukan kami di mata dunia kami akan berusaha ke arah itu. Jika sebaliknya Ukraine mungkin tidak akan mengambil bahagian,” kata Bidnyi kepada penyiar Ukraine, Rada.

Pada Mac, IOC mengesyorkan atlet Russia dan Belarus dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa jika mereka tidak dikaitkan dengan tentera dan tidak menyokong operasi ketenteraan khas Russia.

Sukan Olimpik 2024 di Paris akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024. – Bernama, 10 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen