SPRM ke MoF, JPM hari ini mula siasatan dana publisiti RM700 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

SPRM memulakan siasatan itu hari ini dengan mengumpulkan maklumat di MoF dan JPM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2024.

AGENSI anti rasuah sudah memulakan siasatan awal berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua perdana menteri sebelum ini.

Sumber berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan, hari ini.

“Siasatan ini dibuat berdasarkan maklumat awal sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lepas yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah keseluruhan yang dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Susulan kenyataan Anwar itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut membuat catatan di media sosial yang rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta dibelanjakan.

“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta, baru-baru ini.

“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang tersebut dibelanjakan dan adakah prosesnya mengikut tatacara yang betul,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut namun tidak mendedahkan butiran siasatan. – 2 Januari, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen