Mampukah penjawat awam bersikap telus dan demokratik?


Fakhrurrazi Rashid

Negara akan terus berdepan dilema jika penjawat awam berfikir cara lama dan tidak mampu mengatasi cabaran baharu yang kian kompleks. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2023.

DALAM satu laporan media, mantan ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham menyatakan keputusan menutup Parlimen ketika Covid-19 adalah cabaran paling perit yang pernah dilaluinya sewaktu pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di bawah Muhyiddin Yassin. 

Keputusan itu dibuat atas pendirian akan lebih ramai terkorban jika Parlimen bersidang. Dia turut meluahkan rasa kecewa dengan beberapa pihak yang mengkritik tindakannya itu, termasuk pembangkang, dan memilih untuk berdiam diri.

Noor Hisham mendakwa tindakannya itu menyebabkan tidak berlaku peningkatan kes Covid-19 sepanjang dua minggu Parlimen ditutup.

Namun, keputusan “tepat” menutup Parlimen ini datang dengan harga yang besar.

Pada 30 Oktober lalu, Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menegur kecuaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila 104 ventilator tidak dapat berfungsi dan tidak mempunyai kontrak bertulis untuk proses perolehan.

Kerajaan juga menanggung rugi RM505 juta ke atas 8.5 juta dos vaksin yang luput pada 1 Jun, 2023. Selain itu, PAC turut menegur KKM kerana tidak mempunyai dokumentasi yang tersusun ketika membuat perolehan barang tersebut. 

Ketiadaan mekanisme semak dan imbang Parlimen boleh menjadi punca kecuaian dan kelemahan ini berlaku ketika pandemik Covid-19.

Peristiwa di atas menunjukkan bagaimana seorang pegawai tinggi kerajaan yang tidak melihat kepentingan institusi demokrasi seperti Parlimen dalam mengangkat akauntabiliti dan ketelusan kerajaan dalam mengrusukan negara, termasuk pada saat krisis.

Persoalannya, bagaimana penjawat awam yang digelar sebagai tulang belakang negara boleh bersikap merendahkan sistem demokrasi negara?

Adakah penjawat awam hari ini lebih tinggi daripada institusi ini?

Tanggung kerugian

Penjawat awam yang tidak melihat kepentingan institusi demokrasi dalam pentadbiran negara akan memberi kesan negatif kepada pentadbiran negara.

Apabila kakitangan awam kurang yakin akan sistem demokrasi negara yang ditunjangi suara rakyat, ia membuka pintu kepada amalan buruk seperti salah guna kuasa, ketirisan, rasuah di pintu jabatan kerajaan.

Lihat sahaja bagaimana skandal besar membabitkan dana awam seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Jana Wibawa turut melibatkan aktor yang berjawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka berkompromi dengan ahli politik tidak bermaruah dalam menghancurkan integriti pentadbiran sehingga Malaysia digelar Kleptokrasi.

Isu ini berlaku kerana kerana penjawat awam dan ahli politik meminghirkan kepentingan Parlimen menjalankan peranan semak dan imbang ke atas pentadbiran negara. 

Kini, dengan kedudukan ekonomi dan politik negara yang mencabar, Malaysia memerlukan penjawat awam yang mengangkat prinsip akauntabiliti dan integriti.

Pemikiran ke belakang seperti anti-demokratik dan memandang remeh Parlimen dalam kalangan penjawat awam, hanya akan mengulangi kesilapan lama yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran negara. 

Bayangkan saja, dalam tempoh hampir dua dekad, dengan pertukaran kerajaan dan menteri, kebanyakan gaji pekerja di Malaysia masih rendah. Sedangkan, berbilion ringgit dihabiskan dalam membuat perancangan memperkemas sektor pekerjaan dan tenaga mahir di Malaysia.

Tetapi, selama itulah ia masih gagal.

Ramai yang menyalahkan menteri dalam isu ini kerana pertukaran dasar. Hakikatnya, individu dan pihak yang berada sepanjang dua dekad itu adalah penjawat awam yang sama. 

Ada yang sudah tamat perkhidmatan sekalipun, soal gaji rakyat tidak dapat diselesaikan.

Ini sebahagian daripada zon kelabu (grey area) dalam prinsip tanggungjawab menteri kepada Parlimen yang terpaksa berdepan dengan kritikan ahli parlimen jika penjawat awamnya melakukan kesalahan.

Penjawat awam juga dilihat “kebal” dari dipecat jika melakukan kesalahan berbanding menteri yang berhadapan tekanan untuk ditukar atau dibuang daripada kabinet jika kementeriannya tidak menunjukkan prestasi yang baik

Sebab itu, kritikan terhadap kelemahan perkhidmatan awam ini juga masih lagi menebal dalam kalangan rakyat dan pemain industri.

Kadang kala, bukan soal pelaburan domestik atau luar tidak cukup untuk negara, tetapi disebabkan perkhidmatan awam yang kurang efektif dan penuh dengan red tape, ia menjadi punca pemain industri skeptik dengan peluang di Malaysia. 

Suka atau tidak, rakyat masih melihat kepentingan penjawat awam untuk bersikap profesional, neutral, dan menghormati pandangan rakyat dalam menjalankan amanah.

Malah, Rancangan Malaysia ke-12 meletakkan sasaran untuk membina penjawat awam berprestasi tinggi dengan menekankan aspek kecekapan, integriti, dan ketelusan. 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan matlamat untuk penjawat awam menonjolkan prestasi tinggi pada tahun 2024 dengan menerapkan nilai baik berlandaskan gagasan Malaysia madani.

Anwar melihat amalan nilai baik dalam kalangan penjawat awam akan mengangkat martabat negara dan menghapuskan amalan lapuk yang tidak berintegriti.

Apa yang boleh dibuat?

Perkara paling penting untuk mencapai matlamat ini adalah perubahan budaya dan pemikiran penjawat awam yang melihat kepentingan menghormati nilai dan sistem demokrasi berparlimen dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara, seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Parlimen melalui Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) boleh menjadi badan utama dalam menyemak dan mengimbangi ketelusan pentadbiran awam negara. JPK di Dewan Rakyat perlu aktif dalam mengawasi prestasi penjawat awam di semua peringkat jabatan dan kementerian.

Amalan ini juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab menteri kepada Parlimen. Bermaksud, penjawat awam perlu tampil menjawab segala pertanyaan dan permasalah di hadapan JPK, tidak lagi berselindung di sebalik Menteri jika berlaku sebarang masalah dalam jabatan. 

JPK harus diberikan kuasa melakukan pendengaran pra-pelantikan (pre-appointment) ke atas penjawat awam berjawatan tinggi seperti Ketua Setiausaha Kementerian yang dipilih oleh kerajaan supaya lantikan dibuat atas dasar merit. 

Usaha menubuhkan Ombudsmen, sebuah badan yang bertanggungjawab menyiasat aduan awam terhadap salah laku jentera kerajaan di bawah pengurusan parlimen, harus digerakkan segera.

Sudah hampir lima tahun Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman ini dicadangkan, tetapi ia masih gagal dilaksanakan meskipun kerajaan bertukar ganti.

Malaysia berada di landasan terbaik untuk bangkit sebagai negara berdaya saing.

Penjawat awam yang mempunyai budaya dan pemikiran baharu dan menghormati nilai demokrasi negara adalah kunci utama bagi mencapai matlamat ini.

Sebaliknya, Malaysia akan terus berhadapan dengan dilema sekiranya penjawat awam sendiri berfikir cara lama yang tidak mampu mengatasi cabaran baharu yang kian kompleks untuk masa akan datang. – 28 Disember, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen