Pilihan Raya PBT: DAP jangan lupa sejarah!


PELBAGAI alasan dicipta untuk menyokong usaha mengembalikan pilihan raya pihak berkuasa tempatan/kerajaan tempatan (PBT). Terkini kononnya jika pilihan raya PBT diadakan ianya akan dapat memastikan rakyat akan terjamin hak mereka bagi isu-isu dekat dengan rakyat seperti perkhidmatan-perkhidmatan perbandaran.

Yang harus semua faham adalah gerakan ini mendapat desakan khusus dari DAP. Walaupun tiada pengumuman khusus dari Pakatan Harapan harus diingat antara agenda yang ingin dibawa oleh PH dari dulu lagi adalah untuk pilihan raya PBT ini diwujudkan semula.

Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai menyatakan pilihan raya PBT ini boleh sahaja dimulakan di Kuala Lumpur. Penganalisa politik Saudara Wong Chin Huat pula mencadangkan pemilihan ke Dewan Undangan Wilayah (DUW) dengan Kuala Lumpur diketuai oleh seorang ketua menteri agar Datuk Bandar Kuala Lumpur tidak perlu dilantik oleh Putrajaya.

Hakikatnya adalah bandar-bandar di seluruh Malaysia dikuasai ekonomi dan pemilikan perniagaan serta tanahnya oleh orang-orang Cina. Orang-orang Melayu ada di bandar-bandar hampir majoriti yang besar sebagai penyewa dan pekerja-pekerja.

Yang tidak boleh dinafikan juga adalah sekiranya pilihan raya PBT ini diadakan yang akan bertanding adalah parti-parti politik ataupun diletakkan calon-calon yang akan dibelakangi oleh parti-parti politik. Usah tipu kononnya akan ada calon bebas boleh menang yang akan perjuangkan hak rakyat.

Sebenarnya usaha untuk pilihan raya PBT ini sudah lama dalam perancangan DAP. Contoh terdekat adalah pada tahun 2012 sehingga kerajaan negeri Pulau Pinang failkan petisyen ke Mahkamah Persekutuan memohon antara lainnya deklarasi pilihan raya PBT dilaksanakan di Pulau Pinang.

Pada tahun 2014, melalui kes Kerajaan Negeri Pulau Pinang & Satu Lagi -v- Kerajaan Malaysia & Satu Lagi [2014] 7 CLJ 861, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Negeri Pualau Pinang dengan menyatakan, antara lainnya penggantungan dan pemansuhan pilihan raya PBT melalui undang-undang adalah dasar negara.

DAP dan pendokong-pendokong pilihan raya PBT dinasihatkan untuk belajar dari sejarah. Lihat pada Disember 1975 dan Januari 1976. Hansard Parlimen ke-4 Dewan Rakyat Penggal Pertama akan membuktikan pelbagai isu dibahaskan mengenai pilihan raya PBT.

Sejarah tidak mugkin menipu. Bancian kaum pada tahun 70-an menunjukkan statistik yang menarik untuk dikongsikan. Kira-kira 14.9% orang Melayu menghuni di kawasan bandar di Malaysia Barat berbanding 47% orang Cina dan 34% orag India. Ya, kini ianya sudah berubah kerana kemajuan urbanisasi. Lebih banyak penempatan sudah wujud, tetapi adakah keterlaluan untuk menyatakan kawasan-kawasan bandar majoriti besarnya dikuasai oleh orang-orang Cina?

Objektif utama keperluan penubuhan kerajaan tempatan sebagaimana Laporan Athi Nahappan adalah untuk perpaduan negara, pembangunan sosial dan ekonomi serta pentadbiran yang lebih cekap, demokrasi dan kebebasan. Tetapi yang ingin dibawa kehadapan oleh DAP kini lebih tertumpu kepada pilihan raya PBT yang akhirnya akan dimasuki dan dipertandingkan oleh parti-parti politik juga.

DAP dinasihatkan untuk imbau sejarah. Akta Kerajaan Tempatan 1976 memansuhkan pilihan raya PBT. Pengadaan pilihan raya PBT membawa kepada pelbagai masalah apabila pembangkang (pada waktu itu) lebih suka berpolitk dan janji-janji ditabur sehinggakan dijanjikan tiada yuran atau kadar-kadar cukai akan dikutip kalau mana- mana ahlinya dipilih. Adakah mahu mengulangi kesilapan yang sama?

Begitu jugak dengan situasi wujudnya pada waktu itu mereka- mereka yang dipilih tidak mampu melaksanakan tanggungjawab, berlakunya pelbagai isu salah urus tadbir dan juga kegaggalan mengurus kerajaan tempatan.

Sekiranya proses demokrasi ‘terbantut’ yang dirisaukan, bukankah Rakyat berhak memilih di dewan undangan negeri yang kemudian akan melantik wakil-wakil di peringkat kerajaan tempatan. Maka, perbetulkan niat semasa melantik, pilih yang layak bukan atas dasar politik.

Perlembagaan Persekutuan mengandungi satu mekanisme untuk mengawal isu Kerajaan Tempat ini. Ianya adalah Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan. Peruntukkan Pekara 95A jelas merujuk kepada bidangkuasa dan perjalanan majlis ini, antara lainnya membentuk dari masa ke masa perundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri bagi dasar negara untuk memajukan dan mengawal kerajaan tempatan.

Gunakanlah sebaik mungkin Majlis Negara ini kerana sampai bila Rakyat perlu dibebankan dengan pelbagai isu hanya demi kuasa yang ditagih oleh parti-parti politik.

Konsep federalisme yang diamalkan di Malaysia meletakkan kita berada dalam satu posisi yang unik jika dibandingkan dengan negara- negara lain. Kita ada peringkat Persekutuan dan peringkat negeri- negeri. Malaysia bukannya sebuah ‘unitary state’ seperti United Kingdom.

Rakyat mengundi untuk menghantar wakil ke Parlimen untuk dasar halatuju Negara. Rakyat juga mengundi wakil ke Dewan Undangan Negeri. Melalui kuasa Negeri, ahli-ahli majlis dilantik. Maka, Rakyat tidak dihalang dari demokrasi berkaitan keahlian Kerajaan Tempatan. Cuma mesti pilih atas dasar kelayakkan bukan ‘political patronage’.

DAP dinasihatkan supaya kurang politk cari kuasa, kerana kuasa berlebihan akan membawa padah. Belajar dari sejarah. Usah timbulkan ketidakselesaan antara kaum di Malaysia. – 21 Disember, 2023.

*Rafique Rashid, Ketua Penerangan Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen