Pilihan raya PBT: Wajar atau tidak?


BELUM pun reda isu kenyataan Lim Kit Siang bahawa bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri, isu mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) kini timbul kembali dan menjadi tumpuan utama rakyat. Ini selepas gesaan oleh Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai agar pilihan raya PBT dimulakan di Kuala Lumpur.

Terbaharu, gabungan 16 NGO turut membuat gesaan yang sama. Desakan itu dibuat bagi menegakkan demokrasi serta menghentikan amalan sedia ada yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam memilih serta melantik perwakilan.

Secara umumnya, pilihan raya PBT ini memberikan ruang kepada rakyat untuk memilih ahli-ahli majlis PBT yang berkenaan. Pada masa sekarang, ahli-ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri.

Kita pernah mengadakan pilihan raya PBT sehinggalah dihentikan pada 1965. Walaupun menurut Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan undang-undang persekutuan atau negeri boleh memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menjalankan pilihan raya selain pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), namun pilihan raya PBT ini dimansuhkan sepenuhnya oleh Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang mana masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Komposisi kerusi Dewan Rakyat pada hari ini menunjukkan bahawa parti DAP mempunyai 40 daripada 152 kerusi yang menyokong kerajaan atau lebih kurang 26.3%, di mana semua kerusi yang dimenangi mereka adalah di kawasan bandar. 

Dengan jumlah kerusi yang sebesar itu, tidak menghairankan jika Tan Kok Wai menggesa agar pilihan raya PBT diadakan semula.

Jika pilihan raya PBT ini diadakan semula, ia akan:

i. terus menjarakkan lagi jurang antara kaum di negara ini;

ii. mengurangkan kuasa kerajaan negeri kerana kuasa mereka yang dipilih melalui undian semestinyalah lebih tinggi berbanding dengan kuasa mereka yang dilantik;

iii. kuasa orang Melayu akan semakin berkurang di bandar-bandar yang boleh mewujudkan kebarangkalian tinggi untuk berlakunya kurang selesa antara kaum-kaum; dan

iv. meningkatkan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Selain itu, tiada apa-apa jaminan bahawa jika pilihan raya PBT diadakan, maka kita akan mempunyai sifar penyelewengan dan salah guna kuasa di peringkat PBT. Sedangkan kerajaan yang kita pilih melalui undian ini pun tidaklah bebas penyelewengan dan salah guna kuasa.

Malaysia mengamalkan konsep federalisme di mana kita mempunyai kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Kita adalah negara federalisme dan bukannya negara berkerajaan tunggal (unitary state) yang hanya mempunyai satu kerajaan sahaja yakni kerajaan Pusat, sepertimana di United Kingdom.

Maka pilihan raya PBT tidak sesuai dan juga tiada keperluan untuk dilaksanakan kerana kita sudah ada kerajaan negeri. Lainlah jika kita tidak ada kerajaan negeri, maka pilihan raya PBT mungkin merupakan satu keperluan.

Memandangkan PBT di bawah kuasa negeri dan ahli-ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri, pada hakikatnya rakyat sudah memilih “ahli-ahli majlis” PBT apabila mereka membuang undi semasa pilihan raya DUN. 

Jika rakyat tidak berpuas hati dengan PBT, mereka mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan negeri dan secara tidak langsungnya menukar “ahli-ahli majlis PBT” dengan mengundi kerajaan negeri yang baharu.

Apabila rakyat mengundi pada pilihan raya negeri, ia secara tidak langsung mereka juga boleh dianggap mengundi “ahli-ahli majlis PBT”. Maka rakyat bukanlah tiada sebarang remedi di bawah undang-undang untuk menukarkan PBT yang dirasakan prestasinya kurang memuaskan hati. Bukankah itu juga demokrasi?

Ataupun “demokrasi” jenis bagaimanakah lagi yang DAP mahu?

Maka, cadangan pelaksanaan semula pilihan raya PBT ini wajar ditentang dan dibantah oleh rakyat. – 19 Disember, 2023.

* Rafique Rashid, ketua penerangan Pejuang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen