Ramasamy bakal jelajah seluruh negara perkenal parti baharu


Noel Achariam

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk memperkenalkan parti baharunya yang berasaskan kaum India, Urimai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2023.

BEKAS timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy akan mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk memperkenalkan parti baharunya yang berasaskan kaum India mulai hujung minggu ini.

Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia yang juga dikenali sebagai Urimai secara ringkasnya bermaksud “hak” dalam bahasa Tamil. Ia dilancarkan pada 27 November.

Ramasamy berkata jelajah akan bermula pada Ahad ini di Negeri Sembilan di mana mereka akan menerangkan kepada rakyat rancangan parti yang belum didaftarkan itu.

“Ada dua aspek dalam pembentukan parti ini. Pertama kerana kita belum berdaftar, kita akan bermula sebagai gerakan untuk memberitahu orang India bahawa ada entiti politik baharu dalam negara.

“Kami juga ingin menarik perhatian orang India bahawa ini adalah parti politik untuk mendengar keluh-kesah mereka.

“Yang kedua ialah untuk mengambil isu mereka dan memberi tumpuan kepada segmen masyarakat yang terpinggir,” kata Ramasamy kepada The Malaysian Insight.

Selepas Negeri Sembilan, kumpulan itu akan ke Selangor pada 16 Disember dan seterusnya ke negeri lain.

Ramasamy berkata semasa lawatan itu mereka mahu bercakap mengenai isu-isu yang menjejaskan masyarakat India yang juga boleh diguna pakai kepada kaum lain.

“Kami juga mahu mendengar rungutan rakyat. Kami ingin memperkenalkan parti berkenaan. Sebab penubuhan parti dan maksudnya.

“Kami mahu menangani isu seperti pendidikan, ekonomi, isu sosial, kesihatan dan banyak lagi yang perlu ditangani,” katanya.

Beliau berkata parti itu dirujuk sebagai Urimai tetapi ia bukan hanya untuk kaum India kerana keahlian terbuka kepada semua kaum.

“Masalah hari ini bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat India tetapi juga semua masyarakat lain termasuk Orang Asli.”

Ramasamy berkata beliau sudah memikirkan untuk menubuhkan parti berasaskan India sejak bertahun-tahun lalu.

“Ini bukan perkara baru kerana saya terfikir untuk mewujudkan parti berasaskan India lima tahun lalu ketika saya masih dalam DAP.

“Bolehkah anda menamakan saya satu parti India yang berkesan yang boleh memberikan kepimpinan baik untuk kaum India di negara ini?

“Jadi kami memutuskan perkara ini kerana terdapat kekosongan politik. Saya bertemu ramai orang yang mencadangkannya (untuk parti).

“Juga kerana MIC tidak begitu berkesan dan parti India lain tidak berfungsi,” ktanya.

Beliau berkata pada masa ini Urimai mempunyai kira-kira lebih 2,000 pengikut dan masih ramai yang menunjukkan minat dengan mereka.

Mendapat daya tarikan

Beliau juga berkata Urimai semakin popular kerana media sosial.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana ramai yang ingin tahu mengenai parti kaum India ini.

“Apa kita nak buat? Apa platform kita? Nama Urimai nampaknya menjadi tarikan,” katanya.

Beliau juga menggesa lebih ramai belia untuk menyertai parti itu.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 kita tidak dapat menafikan golongan muda memainkan peranan besar berikutan pelaksanaan Undi18.

“Kita tidak boleh mengabaikan golongan muda terutama selepas Undi18. Mereka adalah satu kuasa yang perlu dipertanggungjawabkan.

“Kami juga mendekati golongan muda melalui semua platform media sosial.

“Kami juga akan menubuhkan belia, sayap wanita sebaik sahaja kami mendaftar dan menjalankan program yang diperlukan untuk menarik belia,” katanya.

Mengenai bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata mereka belum memutuskannya kerana fokus mereka pada masa ini adalah untuk menarik kaum India menyertai perjuangan mereka.

Beliau juga berkata mereka adalah gerakan bebas dan tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

“Tetapi kami tidak akan menolaknya pada masa hadapan (untuk menyertai gabungan). Kami boleh menelitinya. Kami mahu melihat apa yang mereka boleh tawarkan kepada masyarakat India.

“Mereka harus menangani isu-isu India dan bukan hanya menganggap mereka sebagai pengundi,” katanya.

Ramasamy meninggalkan DAP selepas beliau digugurkan sebagai calon pada pilihan raya negeri pada Ogos di Pulau Pinang. – 9 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen