Lim Kit Siang dan PM bukan Melayu


Ruhan Shahrir

Impian Malaysia Kit Siang tentunya sukar untuk dizahirkan buat masa sekarang kerana permasalahan struktur masyarakat Malaysia yang 'highly ethnicised'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2023.

IMPIAN Malaysia Lim Kit Siang supaya suatu hari nanti akan ada bukan Melayu yang diangkat sebagai perdana menteri tidak salah. Malahan wajar sahaja bagi sesiapa warga Malaysia untuk mengimpikan agar jawatan perdana menteri tidak didominasi hanya oleh satu etnik semata-mata.

Siapa pun boleh bermimpi. Ia percuma. Memasang impian adalah sesuatu yang cukup mudah. Menzahirkannya itu yang sukar.

Lebih sukar lagi buat etnik Cina yang secara relatifnya di tingkat komuniti masih hidup dengan berbingkaikan identiti bahasa negara asal leluhur mereka di China, sungguhpun mereka berwarganegara Malaysia.

Jika tidak pun mereka beridentitikan bahasa negara asal leluhur mereka, maka bahasa Inggerislah yang menjadi pilihan mereka berbanding bahasa kebangsaan tanah tumpah darah mereka sendiri. Permasalahan ini sebahagian besarnya adalah permasalahan struktural.

Saya yakin Kit Siang jarang menulis (atau tidak pernah?) dalam bahasa kebangsaan negara kelahiran beliau sendiri. Tulisan-tulisan di blog peribadi beliau rata-ratanya dalam bahasa Inggeris, yang kemudian ada yang menterjemahkannya ke bahasa kebangsaan.

Maknanya idea, buah fikiran, pandangan serta wawasan beliau gagal untuk merangkul dan merangkum sebahagian besar daripada masyarakat Malaysia.

Bahasa Inggeris yang beliau gunakan tidak cukup terangkum atau inklusif. Capaiannya hanya untuk mereka yang berbahasa Inggeris semata-mata. Yakni kelas menengah bandar berbahasa Inggeris yang sebahagian besarnya saya percaya adalah bukan Melayu.

Namun, saya juga maklum bahawa tulisan-tulisan di blog peribadi beliau punya versi bahasa kebangsaan. Versi bahasa kebangsaan itu pun baru dimulakan hanya sekitar 2-3 tahun yang lepas sahaja. Sangat baru. Seolah-olah sasaran politik yang lebih diutamakan oleh Kit Siang dan DAP selama puluhan tahun adalah kelas menengah bandar berbahasa Inggeris.

Justeru, tidaklah menghairankan jika sampai sekarang DAP masih gagal untuk mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu.

Tidaklah juga mengejutkan jika sekiranya masih ramai masyarakat Melayu yang menaruh curiga kepada Kit Siang umumnya dan DAP khususnya, meskipun sudah lebih daripada separuh abad DAP wujud dan Kit Siang berpolitik. Bahasa yang digunakan tidak cukup terangkum.

Saya percaya versi bahasa kebangsaan tulisan-tulisan Kit Siang di blog peribadinya itu adalah versi terjemahan. Tidak dapat dipastikan siapa yang menterjemahkannya tetapi pada hemat saya banyak daripada tulisan-tulisan tersebut telah diterjemahkan secara tidak cermat kerana susun atur ayat-ayat terjemahannya agak kasar dan merumitkan kelancaran untuk memahaminya.

Sistem negara-bangsa moden membolehkan agama dipisahkan daripada negara. Namun bahasa tidak mungkin dapat dipisahkan daripada negara. Ia tersulam di dalam keseluruhan kehidupan bernegara.

Urusan komunikasi pemerintahan, pentadbiran dan operasi institusi-institusi kerajaan serta aparatus negara di mana-mana negara pun pada umumnya akan menggunakan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara masing-masing. Ini wajar dan secara administratifnya tidak terelakkan untuk mengelakkan kelewahan dalam segala hal ehwal urusan bernegara.

Dalam konteks Malaysia, Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi sekali gus bahasa kebangsaan buat Malaysia. Maknanya salah satu unsur keBANGSAan Malaysia adalah bahasanya yakni Bahasa Melayu.

Bahasa merupakan unsur identiti yang bersifat objektif yang sepatutnya menjadi keperibadian setiap warganya. Manakala segala urusan dan hal ehwal yang bersifat rasmi hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Tentunya penggunaan bahasa-bahasa lain dalam urusan bukan rasmi tidak dilarang. Malahan kemahiran berbahasa dengan pelbagai bahasa asing adalah satu aset penting dan sepatutnya digalakkan tanpa mengetepikan keperluan untuk mengukuhkan kemahiran serta kefasihan dalam bahasa kebangsaan kita sendiri.

Saya tidak pasti bahasa apakah yang digunakan ketika Kit Siang berbincang dengan mahasiswa Malaysia di luar negeri. Apakah Kit Siang menggunakan bahasa kebangsaan Malaysia atau menggunakan bahasa rasmi United Kingdom atau bahasa kebangsaan Republik Rakyat China?

Tentu sahaja dalam pertemuan tidak rasmi seperti itu, bukanlah menjadi keperluan untuk berbahasa kebangsaan.

Namun menjadi keperluan buat sesiapa yang mengimpikan jawatan perdana menteri Malaysia untuk fasih dan mahir berbahasa kebangsaan dengan baik supaya idea, buah fikiran, pandangan serta wawasan yang ingin disampaikan serta dilaksanakan itu dapat difahami oleh segenap lapisan dan kelas masyarakat daripada Perlis hinggalah ke Sabah.

Bahasa tentunya bukan jaminan mutlak terhadap mutu dan tingkat pencapaian kepimpinan seorang perdana menteri. Namun seorang perdana menteri perlu memilih satu bahasa yang terangkum ketika menyampaikan amanat beliau kepada seluruh warganya yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama, budaya, kelas dan status pendidikan.

Bahasa tersebut adalah bahasa kebangsaan kita dan seorang perdana menteri perlu menguasainya.

Impian Malaysia Kit Siang tentunya sukar untuk dizahirkan buat masa sekarang kerana permasalahan struktur masyarakat Malaysia yang highly ethnicised. Namun ia bukanlah mustahil untuk dicapai di masa depan.

Impian Malaysia tentunya juga rencam, seperti rencam dan majmuknya masyarakat Malaysia. Namun kerencaman impian masing-masing komuniti itu memerlukan gam atau pelekat yang dapat mencantumkannya.

Pelekatnya adalah bahasa kebangsaan kita yang boleh dijadikan sarana  pemula kepada dialog bersama yang lebih terangkum.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. – 18 Disember, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen