Cina dan bahasa kebangsaan


Ruhan Shahrir

Kemahiran berbahasa kebangsaan dengan baik tidak diperlukan secara undang-undang untuk memperbaharui pasport. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2023.

ISU seorang ibu dan anaknya yang memohon untuk memperbaharui pasport dan kemudiannya ‘dimarahi’ oleh seorang pegawai imigresen bertugas kerana tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik adalah suatu bentuk penzahiran keterpendaman Melayu oleh penjawat awam tersebut.

Kemungkinan besar sentimen yang diluahkan oleh penjawat awam itu turut dirasakan oleh sebahagian besar daripada masyarakat Melayu lainnya.

Justeru, jika diperhatikan komen-komen di media sosial mengenai isu ini, ramai dalam kalangan warganet Melayu yang turut mempersoalkan ketidakupayaan kedua-dua ibu dan anak tersebut untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

Di mana-mana negara pun keperluan untuk warganegaranya menguasai bahasa kebangsaan negara tersebut adalah sesuatu yang bukan hanya kebiasaan tetapi juga kewajaran. Namun di Malaysia persoalan tersebut masih tidak terselesaikan. Malahan ia menjadi isu yang boleh membangkitkan emosi dan juga menjadi fault-line atau garis-pemisah yang membelah masyarakat.

Namun, sayugia diingatkan kemahiran berbahasa kebangsaan dengan baik tidak diperlukan secara undang-undang untuk memperbaharui pasport. Ia hanya diperlukan dalam kes penganugerahan kewarganegaraan sahaja.

Meskipun memperbaharui pasport tidak memerlukan sebarang ujian kefasihan bahasa kebangsaan dan tindakan pegawai imigresen tersebut tentunya tidak wajar khususnya di dalam menguruskan kes tersebut, namun ia mencerminkan psikologi umum masyarakat Melayu dan bukan Melayu apabila berhadapan dengan isu kefasihan serta penguasaan bahasa kebangsaan.

Istilah bukan Melayu yang saya gunakan untuk rencana pendek ini lebih menjurus kepada masyarakat Cina secara umumnya. Masyarakat India atau bumiputera bukan Melayu pada pemerhatian saya kurang mempunyai permasalahan dalam kemahiran berbahasa kebangsaan dengan baik.

Pernyataan di atas menunjukkan bahawa isu kemahiran berbahasa kebangsaan dengan baik sebahagiannya adalah permasalahan struktural.

Struktur ekonomi

Secara strukturalnya masyarakat Cina umumnya berada di kedudukan ekonomi yang lebih tinggi dan mapan berbanding dengan masyarakat Melayu, India atau bumiputera lainnya. Sebahagian daripada masyarakat Cina tidak perlu untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik bagi menguruskan kelangsungan hidup mereka khususnya di dalam kegiatan ekonomi yang mereka jalankan.

Pasaran, pengeluaran, kuasa membeli, pemilikan hartanah di kota-kota, pemilikan syarikat-syarikat perniagaan, jaringan pemborong-penjual-pembeli yang mapan, kekuatan dewan-dewan perniagaan Cina dengan rangkaian jaringan antarabangsa khususnya di antara masyarakat Cina seberang laut menjadikan bahasa kebangsaan kurang diperlukan berbanding dengan bahasa Mandarin atau bahasa Inggeris.

Jika, ada pun sebarang urusan untuk menggunakan bahasa kebangsaan adalah ketika bertemu penjawat awam untuk memohon lesen-lesen atau menyelesaikan perkara-perkara birokrasi negara termasuklah dalam kes membuat atau memperbaharui pasport.

Selebihnya kemungkinan besar bahasa kebangsaan tidak diperlukan di sepanjang hayat mereka kecuali ketika ingin menguruskan pekerja-pekerja asing atau tempatan atau memasarkan produk kepada  konsumer Melayu atau membeli nasi lemak atau kuih-muih atau nasi campur di warung-warung makanan Melayu yang hanya memerlukan kemahiran berbahasa kebangsaan paling minimum.

Justeru, menguasai bahasa kebangsaan Malaysia dengan baik secara strukturalnya kurang diperlukan oleh masyarakat Cina di dalam kehidupan harian mereka. Tanpa bahasa kebangsaan, kehidupan dan kelangsungan hidup mereka tidak terganggu.

Dalam konteks struktur ekonomi Malaysia yang cenderung highly ethnicised atau teretnisasi kejap kerana proses sejarahnya yang khusus itu, maka bahasa kebangsaan kehilangan wibawa yang boleh memberikan nilai tambah di dalam pertimbangan untung-rugi kehidupan masyarakat Cina di Malaysia.

Struktur politik

Struktur ekonomi yang teretnisasi kejap itu didukung pula oleh struktur politik Malaysia yang turut highly ethnicised. Etnisasi politik berlaku kerana etnisasi ekonomi bukan sebaliknya. Etnisasi ekonomi sudah berlangsung lama khususnya ketika penjajah British menjalankan dasar “define divide and rule”.  Setiap etnik didefinisikan mengikut fungsi ekonomi serta jenis pekerjaan dan kemudiannya mereka dipisah-pisahkan baik secara sosial mahu pun penempatan.

Proses pemisahan dan pengetnisasian ruang ekonomi di zaman penjajahan Inggeris ini jugalah yang sebahagian besarnya mendorong kepada kelahiran parti-parti yang pada akhirnya memperjuangkan kepentingan etnik masing-masing.

Dalam masyarakat yang struktur ekonominya highly ethnicised, parti-parti ini bertindak sebagai pelindung etnik masing-masing di dalam proses perebutan sumber – baik sumber ekonomi, politik, identiti, pendidikan mahu pun budaya.

Dalam struktur yang terpisah sebegini, artikulasi politik cenderung mengikut bahasa etnik masing-masing. Bahasa Cina (baca: Mandarin dan dialek-dialek Cina yang lain) dan bahasa Inggeris menjadi pilihan untuk artikulasi politik kepada khalayak Cina oleh politikus-politikus dari etnik mereka berbanding bahasa kebangsaan kecuali jika kempen-kempen politiknya dihadiri oleh khalayak campuran.

Penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris dalam struktur politik masyarakat Cina ada kaitannya dengan kedudukan kedua-dua bahasa tersebut di dalam hirarki ekonomi dan juga kedudukan ekonomi masyarakat yang menggunakannya.

Memandangkan bahasa kebangsaan bukanlah bahasa utama yang digunakan secara harian oleh masyarakat Cina untuk berkomunikasi dan kedudukannya juga adalah secara relatifnya rendah dalam hierarki ekonomi Malaysia kecuali di jabatan-jabatan kerajaan atau urusan perniagaan serta kegiatan ekonomi tingkat rendah, maka ia tidak menjadi sarana utama di dalam pengartikulasian politik buat masyarakat awam Cina.

Struktur sosial

Struktur ekonomi dan politik yang highly etnicised tersebut kemudiannya mempengaruhi pula sarana-sarana komunikasi awam yang diperlukan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat Cina.

Dalam konteks ini bahasa Mandarin menjadi suatu bentuk sarana utama untuk menyatukan kepelbagaian dialek-dialek Cina dan juga suatu bentuk upaya untuk menyeragamkan identiti Cina menerusi pembentukan institusi pendidikan Cina dari tingkat tadika sehinggalah tingkat pengajian tinggi.

Begitu juga struktur sosial yang diwakili oleh media massa, platform-platform media sosial dan juga produk-produk budaya popular yang dibikin khusus untuk konsumsi masyarakat Cina cenderung menggunakan bahasa Mandarin atau bahasa Inggeris sebagai sarana utama artikulasi yang pada akhirnya mengukuh serta menebalkan lagi batas etnik mereka.

Etnisasi struktur masyarakat Malaysia

Etnisasi struktur masyarakat atau societel structure ethnicization tentunya bukan hanya berlaku kepada masyarakat Cina semata-mata tetapi turut berlangsung di dalam etnik-etnik lain juga dengan darjah atau intensiti yang berbeza.

Sebahagiannya adalah kerana proses sejarah penjajahan. Sebahagian lagi adalah kerana struktur yang dibina oleh penjajah dahulu tidak kita rungkaikan sepenuhnya kerana kerumitan-kerumitan yang wujud.

Untuk menyalahkan sebahagian daripada masyarakat Cina yang tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik pada hemat saya tidaklah tepat. Pada hemat saya mereka adalah produk kepada struktur-struktur etnik yang wujud di dalam masyarakat kita.

Untuk merungkaikan sepenuhnya struktur-struktur etnik itu juga bukanlah sesuatu yang mudah dan mungkin tidak perlu pun dilakukan.

Apa yang perlu adalah membina wadah-wadah bersama yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai sarana utama komunikasi masyarakat Malaysia.

Jika itu dapat kita lakukan bersama-sama, niscaya pegawai imigresen yang ‘memarahi’ kedua-dua ibu dan anak tersebut tidak lagi mempunyai sebarang alasan untuk memandang rendah kepada mereka yang tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan Malaysia dengan baik.

Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. – 9 Disember, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen