Muhyiddin berisiko lari, pasport tak boleh dikembalikan, kata pendakwaan


Ppresiden Bersatu Muhyiddin Yassin masih berdepan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM200 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2023.

MUHYIDDIN Yassin tidak boleh dibenarkan ke luar negara kerana presiden Bersatu itu masih berdepan tiga lagi tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM200 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa, kata pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Lim Wai Keong berkata demikian dalam afidavit bagi membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan semula pasportnya dari Mahkamah Sesyen untuk bercuti bersama keluarga di luar negara.

Menurut Lim, Mahkamah Sesyen pada Mac lalu telah menetapkan ikat jamin RM2 juta dan Muhyiddin perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah kerana bekas perdana menteri itu berisiko melarikan diri.

Pada 16 Oktober lalu Muhyiddin memfailkan notis permohonan bagi mendapatkan kembali pasportnya tanpa syarat.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azura Alwi pada 25 Oktober mengarahkan afidavit jawapan pihak pendakwaan difailkan pada atau sebelum 8 November, manakala afidavit balasan pemohon difailkan sebelum atau pada 17 November. 

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Company, Muhyiddin berkata merancang untuk membawa keluarganya bercuti di London pada akhir tahun.

Pengerusi Perikatan Nasional itu juga berkata beliau perlu menjalani pemeriksaan jantung di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Muhyiddin berkata sebelum ini beliau menjalani ujian stres jantung tanpa treadmill di Mayo Clinic di Amerika Syarikat beberapa tahun lepas, dan doktor di sana memaklumkan Hospital Mount Elizabeth mempunyai rawatan atau peralatan diagnostik yang sama. – 17 November, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen