Wan Saiful akan didakwa lagi esok


Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau diminta hadir ke mahkamah di Kuala Lumpur esok, dipercayai untuk didakwa atas pertuduhan baharu melibatkan pengubahan wang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2023.

AHLI Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata beliau diminta hadir ke mahkamah di Kuala Lumpur esok, dipercayai untuk didakwa atas pertuduhan baharu melibatkan pengubahan wang haram.

“Saya telah menerima arahan untuk hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur (Jalan Duta) esok 25 Oktober 2023, jam 8.30 pagi.

“Dikatakan bahawa ada pertuduhan-pertuduhan baru yang akan dikenakan di bawah AMLA. Butiran pertuduhan masih belum jelas setakat ini,” tulisnya di Facebook.

Menurut Wan Saiful, beliau akan hadir ke mahkamah esok untuk mempertahankan diri.

“Saya yakin mahkamah adalah tempat terbaik untuk saya mendapatkan keadilan,” katanya.

Wan Saiful sedang dibicarakan atas dua kes jenayah termasuk dakwaan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Sementara itu, sumber agensi anti rasuah mendedahkan seorang ahli parlimen akan dikenakan lebih 15 pertuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan wang kira-kira RM6 juta.

“Ahli Parlimen ini telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini untuk diambil keterangan sebelum dituduh esok,” katanya.

Seorang timbalan ketua bahagian sebuah parti politik juga akan dituduh di mahkamah sama atas kesalahan sama melibatkan nilai wang berjumlah kira-kira RM500,000.

“Individu sama juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam lusa bagi menghadapi beberapa pertuduhan dengan nilai lebih RM3 juta dengan kesemua pertuduhan adalah di bawah seksyen sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut namun enggan mengulas lanjut. – 24 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen