Suspek kegiatan wang haram syarikat penerbangan bebas dengan jaminan polis 


TIGA suspek yang ditahan pada Khamis lepas bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pengubahan wang haram melibatkan syarikat penerbangan tambang rendah sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataan hari ini berkata dua suspek dibebaskan semalam, manakala seorang lagi hari ini selepas tempoh tahanan reman mereka tamat.

Semalam, Bernama melaporkan seorang peguam sebuah syarikat pelaburan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline telah dibebaskan dengan jaminan polis, pada Jumaat lepas.

Pada 26 Oktober, empat individu termasuk peguam itu ditahan dan direman empat hari bagi membantu siasatan kes syarikat pelaburan i-Serve kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pengasas bersama syarikat MYAirline.

Beliau berkata kesemua suspek berkhidmat di syarikat i-Serve, dengan memegang jawatan pembantu kewangan, pengurus penyelidikan dan pembangunan (R&D), peguam dan pemegang saham.

Pada 17 Oktober lepas, polis menahan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar “Datuk” serta isteri dan anak lelakinya, bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Bernama, 30 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen