Pengarah Mentega Terbang ambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan


Noel Achariam

Mentega Terbang, arahan Khairi Anwar, mengisahkan seorang remaja Muslim yang gemar mengkaji persoalan agama khususnya terkait persoalan kehidupan selepas kematian. – Gambar Facebook, 8 September, 2023.

PENGARAH “Mentega Terbang”, Khairi Anwar dan Meng Kheng Entertainment mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana mengharamkan filem mereka.

Mereka mencabar perintah larangan yang diwartakan terhadap filem itu.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek mengesahkan pemfailan permohonan semakan kehakiman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September.

Beliau berkata tindakan undang-undang itu adalah terhadap Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan kerajaan pusat.

“Pemohon memohon perintah untuk membatalkan keputusan menteri dalam negeri, untuk memaksa beliau membatalkan warta bertarikh 1 September 2023 dan bagi pengisytiharan Seksyen 26 Penapisan Filem 2002 adalah tidak berperlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaid menambah, permohonan kebenaran semakan kehakiman ditetapkan untuk pendengaran pada 31 Januari tahun depan.

Pada September, Kementerian Dalam Negeri mengharamkan filem “Mentega Terbang” selepas penerbitan warta kerajaan.

Larangan itu dibuat hampir enam bulan selepas aduan dibuat kepada pihak berkuasa, yang didakwa pengkritiknya menyentuh sensitiviti umat Islam.

Saifuddin mengeluarkan larangan itu melalui perintah pada 21 Ogos yang ditandatanganinya.

Filem itu, termasuk bahan publisitinya, tidak boleh ditayang, dipamer, diedar, dijual atau dimiliki, atas alasan kepentingan awam.

“Mentega Terbang”, diarahkan oleh Khairi, meneroka persamaan dan pandangan beberapa agama utama di Malaysia.

Ia mengisahkan remaja berusia 15 tahun bernama Aishah yang ingin tahu mengenai kepercayaan dan kehidupan selepas mati kerana kesihatan ibunya yang semakin merosot.

Bekas menteri hal ehwal agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selepas menonton filem itu, berkata “Mentega Terbang” boleh memesongkan akidah orang ramai. – Bernama, 8 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen