Kumpulan peguam selar kenyataan JPN berkait 4 beradik tiada kad pengenalan


Pengarah LFL Lawyers for Liberty Zaid Malek menggesa JPN segera memperoses dan memberi taraf kewarganegaraan kepada empat beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2023.

KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty menafikan dakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa empat beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan enggan memberikan kerjasama semalam.

LFL merujuk kenyataan JPN semalam yang mendakwa ia sukar untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada empat beradik itu kerana mereka enggan memberi kerjasama semasa hadir ke ibu pejabat JPN di Putrajaya.

Kenyataan JPN itu mengejutkan, kata Pengarah LFL Zaid Malek, kerana seolah-olah meletakkan kesalahan pada empat beradik berkenaan sedangkan masalah ini berpunca daripada kegagalan JPN sendiri.

Beliau dalam pada itu menggesa JPN memperoses dan memberi taraf kewarganegaraan kepada mereka dengan segera.

“Apa yang mengejutkan, bukan sahaja mereka tidak dibantu, malah JPN berniat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dengan mengalihkan kesalahan kepada empat beradik yang bertahun-tahun menderita akibat kesalahan JPN sendiri.

“Dakwaan JPN bahawa tiada butiran lengkap mengenai perkahwinan ibu bapa mereka adalah palsu.

“Salinan sijil perkahwinan yang sah sudah diserah kepada pegawai JPN semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zaid lagi, empat beradik itu – Aziq Fadyan, 24, Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12, dan Azalea Batrisya, 9 – hadir ke ibu pejabat JPN di Putrajaya semalam bagi mengemukakan bukti, termasuk salinan dokumen perkahwinan ibu dan bapa mereka.

“Mereka datang atas permintaan JPN sendiri, yang dibuat melalui kenyataan pada petang Selasa.

“JPN menambah syarat yang tidak perlu dengan meletakkan syarat permohonan perlu dibuat oleh warganegara Malaysia.

“Tiada alasan undang-undang mengapa empat beradik itu atau mana-mana individu tanpa kerakyatan tidak boleh membuat permohonan sendiri,” katanya. – 20 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen